'Pinjaman untuk bayar hutang hanya langkah sementara'

in Nasional by

Nik Azman. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid menjelaskan, pinjaman yang dibuat untuk membayar hutang adalah langkah jangka pendek dan sementara.

Justeru katanya, kerajaan perlu mencari penyelesaian untuk jangka masa panjang bagi mengawal peningkatan hutang negara seterusnya memudahkan ia diurus.

“Memang pinjaman selalu dibuat untuk pembiayaan terutama perbelanjaan pembangunan.

“Cuma pada tahun ini dan tahun lepas berlaku Covid-19, yang mana sebahagian pinjaman digunakan untuk membiayai kegiatan menangani wabak itu dan menjana ekonomi untuk bantu syarikat terjejas,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Terdahulu Nik Azman ketika taklimat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2021 kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan, hutang negara pada tahun lalu meningkat sebanyak RM100 bilion menjadi RM979.814 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan sebanyak 64.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu menyebabkan liabiliti keseluruhan kerajaan pada 2021 berjumlah RM1.298 trilion iaitu 84 peratus daripada KDNK.

Dalam pada itu ketika ditanya cadangan Jabatan Audit Negara (JAN) kepada kerajaan, Nik Azman berkata, peminjaman wang tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Itu kita faham, cuma kita bimbang kenaikan hutang sekarang tidak boleh berterusan. Maknanya ini (pinjaman) sepatutnya hanya untuk jangka pendek. Kerajaan patut ambil tindakan pembetulan supaya hutang dapat dikawal.

“Seperti disebut Wong Kah Woh (Pengerusi PAC) tadi, setiap RM1 hasil yang dikutip, 16 sen daripadanya diguna untuk bayaran faedah pinjaman,” ujarnya.

Sementara itu dalam sidang akhbar sama, Kah Woh menyuarakan kebimbangan terhadap trend peningkatan hutang kerajaan apabila kadar peratusan tinggi hasil negara digunakan untuk pembiayaan hutang.

“Daripada RM62.317 bilion yang dipinda ke Kumpulan Wang Pembangunan, hanya RM40.994 bilion (65.8 peratus) digunakan untuk tujuan perbelanjaan pembangunan, berbanding RM37.530 bilion (77.3 peratus) pada 2020.

“Manakala sejumlah RM12.612 bilion (20.2 peratus) digunakan untuk tujuan menanggung liabiliti PFI (inisiatif pembiayaan swasta) dan komitmen jaminan, dan RM8.711 bilion (14 peratus) digunakan untuk tujuan pengelasan belanja mengurus untuk pembangunan,” katanya.