PRU15: Bersatu Selangor dedah dilamar wakil UMNO

in Politik by

Abdul Rashid

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor mendedahkan pihaknya pernah dilamar wakil UMNO untuk bekerjasama menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, wakil parti tersebut bertemunya dua bulan lalu dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan gabungan berkenaan.

Menurutnya, jika Perikatan Nasional (PN) memenangi PRU15 dan menakluk Selangor, bakal Menteri Besar negeri tersebut perlu dilantik daripada UMNO.

“Mereka minta saya cakap dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kalau PN berjaya menakluki Selangor, Menteri Besar mesti daripada UMNO.

“(Tapi) Saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk tentukan sama ada terima atau tidak pinangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi PN dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Perhubungan Kawasan di Glenmarie Hotel and Resort, di sini pada Rabu.

Dalam majlis sama, parti-parti komponen PN mencapai kata sepakat untuk menggunakan logonya dalam menghadapi PRU15 kelak.

Muhyiddin berkata, logo PN mungkin boleh digunakan di sesetengah kawasan dan ia melibatkan perbincangan terbuka antara pemimpin komponen parti dalam gabungan tersebut.

Menurutnya, tiada rahsia yang perlu disorokkan sesama mereka dan ia menunjukkan keikhlasan untuk berbincang demi kepentingan bersama.