Selangor laksana program digitalisasi

in Edisi by

Amirudin (tengah) pada perasmian SDEC 2022 – Persidangan Smart City Asian: Sidang Kemuncak Datuk Bandar di KLCC pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Selangor telah melaksanakan beberapa program digitalisasi ke arah menjadikan Selangor Negeri Pintar di ASEAN menjelang 2025.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara kemudahan yang menggunakan inisiatif teknologi pintar itu termasuk Smart Selangor Parkir (SSP), e-kupon dan e-pembayaran warganegara (CEpat).

Menurutnya, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan pembayaran tempat letak kereta digital e-kupon menggantikan kertas kupon yang dimansuhkan sepenuhnya.

“Aplikasi SSP memudahkan orang awam membayar tempat letak kereta dan saman di 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) secara dalam talian dengan seramai 2.2 juta pengguna telah berdaftar aplikasi tersebut setakat ini.

“CEpat merupakan aplikasi tanpa tunai bagi perkhidmatan kerajaan Selangor. Sebanyak sembilan PBT telah menggunakan sistem ini dan menyasarkan 12 PBT akan menggunakan kemudahan sama pada tahun depan, ” katanya pada SDEC 2022 – Persidangan Smart City Asian: Sidang Kemuncak Datuk Bandar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Sebanyak 11 wakil Smart City dari pelbagai negara menyertai konvensyen itu antaranya Jakarta, Taipei, Asan, Perbandaran Chiang Mai, Amsterdam, Makassar dan Perbandaran Rayong bersidang bagi berkongsi pandangan inisiatif bandar pintar yang telah dilaksanakan.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

Dalam program sama, beliau melancarkan Sekolah Digital Selangor (SDS) yang merupakan inisiatif terbaru oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) bagi mengatasi kekurangan bakat digital di Selangor.

Sementara itu, Chang Khim berkata, SDEC 2022 -Persidangan Smart City Asian: Sidang Kemuncak Datuk Bandar merupakan komponen besar dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 bertemakan Pendigitalan Mampan Ke Arah Masa Depan Sifar Bersih.

Jelasnya, SDEC yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis ialah salah satu konvensyen Bandar Pintar serantau terbesar di Asia Tenggara yang menumpukan aspek Bandar Pintar dan Ekonomi Digital.

Beliau berkata, program tersebut dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor dan Sidec bersama penganjur bersama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan EUROCHAM Malaysia.

“Kami berterima kasih kepada Affin Bank Berhad sebagai penaja utama, rakan kongsi rasmi SUBPLACE serta rakan media rasmi Astro.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi strategik seperti Tik Tok, Beli Malaysia, Carsome, The Sea Capital, Venture Grab, Razor Merchant Services dan Bermaz Auto Berhad,” katanya.

Terdapat pameran teknologi oleh 50 syarikat dengan 100 gerai mempamerkan kereta elektrik terbaharu oleh Kia, EV Bike oleh Eclimo, dan E-Scooter by Beam, serta sistem Urban Farming danRobot penghantaran autonomi pada program itu.

Selain itu, sebanyak 24 pakar akan berkongsi berkongsi kepakaran antaranya dalam bidang kenderaan pintar; tenaga solar, biofuel dan biojisim; teknologi pintar untuk tenaga dan pelaburan serta pembiayaan hijau menerusi forum yang akan diadakan.