Sibuk bekerja tidak jadi halangan

in WacanaQuran by

Mahani (kiri) dan laporan Sinar Harian mengenai program My #QuranTime.

SHAH ALAM – Kesibukan bekerja bukan halangan untuk umat Islam di negara ini menyertai atau mengikuti setiap program My #QuranTime yang dianjurkan.

Salah seorang peserta, Mahani Mohamed, 57, berkata, dia tidak pernah ketinggalan menyertai program berkenaan pada dua tahun lalu walaupun ketika itu masih bekerja.

Selain itu, dia juga mengikuti semua kelas-kelas yang disediakan secara dalam talian.

“Bagusnya program ini sebab saya boleh mengikuti kelas sambil bekerja, malah saya boleh belajar tanpa mengikuti kelas secara fizikal.

“Andai kata kita tertinggal kelas, boleh lihat semula rakaman melalui pelbagai platform media,” kata pesara ahli geologi itu kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mahani yang berasal dari Kajang berkata, dia juga tidak sabar untuk menyertai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang bakal berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu ini.

Menurutnya, perkongsian sepanjang penyertaan dalam program tersebut banyak memberi manfaat dan perubahan kepada dirinya.

“Signifikasi My #QuranTime ini bagi saya satu program yang dapat memberi ilmu mengenai al-Quran. Sebelum ini kita hanya membaca tetapi tidak tahu apa maksud dalam setiap ayat.

“Bila ada program seperti ini, kita tambahkan lagi pengetahuan, selain membaca tafsir dan tadabbur al-Quran.

“Cuma baca, faham dan amal. Kita faham dan gunakan pemahaman tersebut untuk kebaikan kehidupan seharian,” ujarnya.