SPRM ‘terikat' jika di bawah Parlimen hanya tanggapan: Rais

in Nasional by

Rais Yatim – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Dakwaan jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah tanggungjawab Parlimen akan ‘terikat’ dengan arahan politik, hanyalah tanggapan semata-mata, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, ini berikutan JKKMAR sudah boleh menyoal atau membawa sebarang usul dan cadangan bagi menambah baik agensi berkenaan.

“Tinggal lagi kita nak formulisasikan beberapa tanggungjawab yang lebih jelas. Ini kerana pencegahan rasuah akan menjadi lebih bahaya jika diletakkan di bawah kuasa eksekutif dalam tempoh yang lama kerana akan bertembung dengan konsep akauntabiliti.

“Akauntabiliti pada Parlimen tadi selaras dengan akauntabiliti kabinet terhadap Parlimen, jadi apa salahnya sekiranya SPRM itu bertanggungjawab pada Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Negara merasmikan Majlis Persidangan Simposium Parlimen Malaysia Forum Antirasuah Senator bersama SPRM di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, Timbalan Pengerusi JKKMAR Senator Fadhlina Sidek dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Rais berkata, JKKMAR perlu diberi lebih peranan menerusi Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kami (JKKMAR) bukan nak menentukan hal-hal kecil dalam pentadbiran, kalau Parlimen boleh buat undang-undang kenapa tidak boleh buat pengawasan antirasuah ini,” katanya.

Sebelum ini terdapat gesaan pelbagai pihak yang mencadangkan supaya SPRM diletakkan di bawah seliaan Parlimen bagi memastikan proses semak dan imbang agensi itu lebih bebas serta telus.

Pada 29 September lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, beliau terbuka dengan cadangan agensi itu diletakkan di bawah Parlimen namun perkara itu mungkin akan menyebabkan agensi tersebut terikat dengan arahan yang ditetapkan oleh ahli politik. – Bernama.