Subahan dilantik sebagai Pengerusi Perkeso

in Nasional by

Subahan

PUTRAJAYA – Datuk Seri Subahan Kamal dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkuat kuasa 4 Oktober lepas, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, pelantikan Subahan, 57, bagi menggantikan Senator Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa yang telah memegang jawatan berkenaan untuk tempoh lebih dua tahun tiga bulan sebelum dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada 26 September lepas.

Saravanan berkata, pengalaman, pengetahuan dan profesionalisme Subahan menjadi satu aset yang akan memberikan lonjakan besar buat Perkeso dalam meneruskan agenda perluasan perlindungan keselamatan sosial menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana rakyat Malaysia selari dengan konsep perlindungan sosial sepanjang kitaran hidup.

“Saya juga yakin, kepimpinan beliau dalam menerajui Lembaga Perkeso dapat meningkatkan lagi tahap tadbir urus, integriti dan mutu perkhidmatan agensi ini kepada pelanggan dan rakyat, khususnya semasa tempoh pascapandemik COVID-19 ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Saravanan juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Haniffa atas sumbangan dan khidmat bakti beliau sebagai Pengerusi Lembaga Perkeso terutamanya tatkala Perkeso memainkan peranan penting membantu seluruh Keluarga Malaysia mendepani impak pandemik Covid-19.

Subahan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Perakaunan dengan pengkhususan Kewangan dari Universiti of Southern Illinois, Amerika Syarikat juga telah ditauliahkan dengan Certificate of Marine Cargo Technical Claims dan Certificate of Liability Insurance oleh Institut Insurans Malaysia.

Beliau juga berpengalaman luas dalam pelbagai industri menerusi syarikat senaraian awam dan persendirian, termasuk industri pembinaan, pembuatan, pembangunan hartanah, makanan dan minuman (F&B), media, perbankan serta insurans.

Selain itu, beliau juga banyak menyumbang jasa dalam arena sukan negara termasuk sukan bola sepak dan hoki.

Subahan kini memegang jawatan sebagai ahli Lembaga Perbadanan Stadium Malaysia, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia dan juga Kelab Bola Sepak PJ City Football Club malah juga pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor sebagai Presiden sehingga Julai 2018. – Bernama