Anak penyu berkepala dua digelar ‘Hope' dan 'Faith’

in Edisi Terengganu by

Anak penyu berkepala dunia diberi nama Hope dan Faith dianggap sebagai penemuan unik yang jarang berlaku.Abidah (kiri) sedang mengambil ukuran badan Hope dan Faith bagi memantau perkembangan anak penyu berkepala dua.

DUNGUN – Hope dan Faith. Itu gelaran diberikan kepada anak penyu berkepala dua yang ditemukan sekumpulan sukarelawan pada 30 Ogos lalu di Projek Konservasi Penyu Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort, di sini.

Pengurus projek konservasi tersebut, Abidah Zaaba berkata, pasukannya sepakat memilih gelaran tersebut sebagai gambaran harapan supaya anak penyu unik itu dapat mencapai jangka hayat lebih panjang berbanding ramalan.

“Kepala kiri bernama Hope yang bermaksud harapan manakala kepala kanan pula Faith iaitu kepercayaan, ia membawa maksud kami berharap dan dalam masa sama percaya ia boleh hidup dengan lebih lama,” katanya di sini pada Khamis.

Menurutnya, haiwan marin yang kini ditempatkan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Rantau Abang itu menunjukkan perkembangan positif seperti anak penyu normal lain walaupun mempunyai fizikal berbeza.

Beliau yang hadir ke PKPP bersama tiga sukarelawan lain bagi melihat keadaan terkini anak penyu itu berkata, Hope dan Faith sudah mencapai berat 40 gram manakala ukuran panjang dan lebarnya pula adalah 5 sentimeter (cm) serta 6cm.

“Masa mula-mula jumpa dahulu panjangnya sekitar 4cm, sekarang sudah bertambah 1cm. Alhamdulillah anak penyu berkepala dua ini sihat dan membesar dengan baik, petugas PKPP juga beritahu ia boleh makan macam penyu biasa lain.

“Di sini, ia diberi makan ikan sebanyak tiga kali sehari, selagi ia mampu makan secara normal kami percaya selagi itu ia boleh hidup dengan baik. Kami gembira melihat Hope dan Faith membesar secara sihat dan begitu aktif sekali,” katanya.

**media[1935774]**

Pada 30 Ogos lalu, sukarelawan Projek Konservasi Penyu Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort, di sini terkejut apabila menemukan seekor anak penyu berkepala dua yang masih hidup di pusat konservasi itu.

Anak penyu dari spesis Agar itu ditemukan ketika pemeriksaan rutin sarang telur penyu sekitar jam 11 pagi dan dianggap sebagai penemuan yang jarang berlaku.

Ini merupakan penemuan pertama anak penyu berkepala dua yang masih hidup di sini, kejadian sama pernah direkodkan pada Jun tahun lepas namun ketika ditemui, ia masih di dalam telur, tidak menetas dan sudah mati.

Kejadian yang dipanggil sebagai ‘dicephalism’ itu merupakan situasi jarang berlaku kepada penyu dan faktor genetik mungkin memainkan peranan penting dalam pembentukan penyu berkepala dua ini.

Kebiasaannya, anak penyu berkepala dua direkodkan mempunyai jangka hayat lebih pendek iaitu sekitar dua hingga tiga bulan berbanding penyu normal.

Sementara itu, Abidah berkata, setakat ini tiada kajian dibuat terhadap haiwan marin itu bagi mengelak risiko kerana belum mencapai usia dan saiz yang sesuai untuk penyelidikan iaitu sekitar enam hingga lapan bulan.

Katanya, selepas penemuan Hope dan Faith, pihaknya ada menemukan dua kejadian sama di pusat konservasi mereka namun malangnya ia sudah mati dan tidak menetas.

Jelas beliau, bangkai anak penyu berkepala dua itu kemudian diawet dan dijadikan spesimen untuk tujuan pendidikan serta ditunjukkan kepada pengunjung Projek Konservasi Penyu Lang Tengah Turtle Watch.

“Tiga anak penyu berkepala dua ini (satu hidup, dua mati) ditemui dalam sarang berbeza, namun kita syak ia datang dari baka yang sama kerana semua telur ini diperolehi dari pantai sekitar daerah Kemaman,” katanya.