Bank Negara arah iPay88 perkukuh kawalan keselamatan siber

in Nasional by

SHAH ALAM – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan gerbang pembayaran bagi institusi perbankan dan para peniaga, iPay88 (M) Sdn Bhd untuk memperkukuhkan kawalan keselamatan siber mereka.

BNM dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, BNM juga telah mengarahkan syarikat itu untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi terus memperkukuh kawalan keselamatan siber dan infrastruktur IT mereka, susulan insiden pencerobohan pada Ogos lalu.

“Susulan selesainya penyiasatan forensik bebas, iPay88 telah melaksanakan langkah pembendungan dan pembetulan yang sewajarnya bagi menangani kelemahan sistem mereka yang telah dikenal pasti.

Kesemua langkah ini bertujuan memastikan insiden yang sama tidak berulang dan untuk melindungi daripada ancaman pada masa hadapan.

“BNM akan terus memantau rapi pelaksanaan langkah-langkah ini dan sekiranya perlu, akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

BNM juga telah mengarahkan bank-bank dan syarikat pengeluar kad untuk terus mengekalkan tahap pengawasan tinggi terhadap aktiviti yang menggunakan kad yang mungkin berisiko.

Jelasnya, pihak bank atau pengeluar kad akan menghubungi pelanggan sekiranya sistem pemantauan mereka mengesan sebarang aktiviti kad yang mencurigakan.

“BNM ingin meyakinkan orang ramai bahawa sistem perbankan dan pembayaran di Malaysia kekal selamat dan terjamin.

“Di bawah peraturan kad pembayaran sedia ada, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan jika berlakunya penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran selagi pelanggan telah mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan kad pembayaran mereka,” jelas kenyataan berkenaan.

Tambahnya, pelanggan juga dinasihatkan untuk segera memaklumkan kepada bank mereka jika terdapat sebarang transaksi luar daripada kebiasaan atau transaksi tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka.

Untuk maklumat lanjut atau aduan, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK melalui 1-300-88-5465 atau eLINK.