Bayi dua bulan perlu susu khas untuk hidup

in Edisi Kelantan by

Muhamad Adha Mikhael perlu bergantung kepada susu khas untuk meneruskan hidup selepas disahkan menghidap jantung berlubang, injap jantung sempit dan masalah paru paru.Noor Diana berkata, pihak hospital menyarankan agar Muhamad Adha Mikhael diberi sejenis susu khas jenama ‘Portagen’.

TANAH MERAH – Berusia dua bulan, Muhamad Adha Mikhael Kamaruddin dari Kampung Lubok, di sini perlu bergantung kepada susu ‘khas’ untuk meneruskan hidup.

Lebih menyedihkan lagi bayi tersebut disahkan menghidap jantung berlubang, injap jantung sempit dan masalah paru paru sejak dia lahir.

Ibunya, Noor Diana Shaidon, 35, berkata, disebabkan penyakit tersebut menyebabkan dia tidak dapat menyusu anak bongsu daripada empat beradik itu.

**media[1935827]**

Menurutnya, pihak hospital menyarankan agar Muhamad Adha Mikhael diberi sejenis susu khas jenama ‘Portagen’ yang mencecah harga RM1,500 sebulan.

“Sepanjang hari Muhamad Adha Mikhael akan diberikan susu setiap tiga jam sekali.

“Sebagai ibu, sedih apabila melihat anak perlu bergantung kepada susu yang mahal dan sukar untuk diperolehi. Hendak beri susu badan tidak sesuai untuk dia yang sedang berlawan dengan pelbagai penyakit,” katanya kepad Sinar Harian.

Noor Diana berkata, susu yang diperlukan oleh anaknya itu diluar kemampuan suami, Kamaruddin Husin, 32, sebagai seorang tukang pemotong kayu.

Ujarnya, pendapatan suami hanya cukup untuk menyara keluarga termasuk tiga anak yang masih bersekolah berusia antara 16 hingga enam tahun.

Dia berkata, sepanjang Muhamad Adha Mikhael menerima rawatan di hospital, susu tersebut akan dibekalkan secara percuma namun perlu dibeli sebaik sahaja pulang ke rumah.

“Kami ada minta bantuan susu dengan sesetengah pihak tetapi kena tunggu empat hingga enam bulan.

“Selain susu kami perlu bersiap sedia untuk pembedahan paru-paru Muhamad Adha Mikhael dan keputusannya hanya akan diketahui pada 22 Oktober nanti semasa janji temu dengan doktor di Hospitak Raja Perempuan Zainab II (HRPZII),” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB 7624416251 Noor Diana Shaidon.