Beaufort sedia hadapi banjir

in Edisi by

Sebanyak 10 PPS dan 60 aset telah dikenal pasti untuk digunakan sebagai persediaan jika berlakunya banjir di daerah ini susulan fenomena monsun timur laut dijangka bermula November ini. – Foto 123RF (Gambar kecil Mohd Nasri)

BEAUFORT – Sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dan 60 aset telah dikenal pasti untuk digunakan sebagai persediaan jika berlakunya banjir di daerah ini susulan fenomena monsun timur laut dijangka bermula November ini.

Persediaan itu susulan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun bahawa sebanyak 520 kawasan di negeri ini yang berpotensi akan dilanda banjir dan Beaufort antara daerah yang diberi keutamaan.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajum berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort telah beberapa kali mengadakan mesyuarat bagi daerah yang sering dilanda banjir untuk menghadapi persediaan monsun timur laut ini.

“Buat masa ini di Beaufort ada 10 PPS yang telah dikenal pasti dan bermula minggu hadapan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menjadualkan untuk melawat kesemua PPS ini dan sekiranya penyelenggaraan diperlukan kita buat dengan segera.

“Secara keseluruhan saya difahamkan terdapat 60 aset termasuk bot dan jentera yang melibatkan semua agensi keselamatan selain kekuatan keanggotaan yang tersedia ketika ini adalah lebih 200 anggota bagi menghadapi banjir susulan monsun timur laut,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Beaufort antara daerah yang diberi keutamaan untuk persediaan menghadapi banjir berikutan monsun timur laut yang akan melanda November hingga Mac tahun depan.

Tambah beliau lagi, peringkat JPBD Beaufort, pusat gerakan bencana telah diaktifkan sejak 3 Oktober lalu seperti yang diarahkan oleh peringkat kerajaan negeri.

“Selaku Pegawai Daerah dan Pengerusi Bencana Daerah Beaufort beberapa siri mesyuarat diadakan dan pusat gerakan bencana telah diaktifkan,” jelasnya.