Hanya Agong miliki kuasa prerogatif untuk bubar Parlimen

in Politik by

Rosol – Foto Bernama

JOHOR BAHRU – Hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi perkenan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan keputusan itu bukan ‘milik’ mana-mana pihak.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, sama ada bubar atau tidak Parlimen dalam masa terdekat akan diputuskan mengikut kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

“Kuasa prerogatif sepenuhnya adalah milik Yang di-Pertuan Agong pada masa ini. Jadi kita tunggu dah lihatlah apa berlaku seterusnya kerana episod seterusnya masih ‘panjang’ lagi nampaknya.

“Kalau bubar (Parlimen) akan ada PRU, kalau tak bubar mungkin berlaku perubahan-perubahan lain, episodnya macam drama Korealah, mungkin perubahan dalam kabinet dan susulan itu semuanya berubah susulan kabinet berubah.

“GLC (syarikat berkaitan kerajaan) pun berubah (kepimpinan) semuanya banyak yang terkesan,” katanya kepada pemberita selepas program Inisatif Pendigitalan sektor Peruncitan Peringkat Negeri di Bazar Karat di sini pada malam Khamis.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan antara spekulasi pertemuan itu dikaitkan berkenaan tarikh pembubaran Parlimen untuk PRU15.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO kemudian bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Rosol berharap, semua pihak terutama mereka yang mahukan PRU segera supaya berfikir untuk rakyat dalam keadaan mereka baru bangkit daripada pandemik Covid- 19 dan tidak lama lagi akan berdepan banjir.

Malah kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, beberapa negeri sudah pun mula dilanda banjir seperti di Johor, Pulau Pinang dan Perak.

“Jadi sekarang bukan masa untuk berpolitik, sekarang ini kita mesti cari jalan berfikir dan beri perhatian untuk kesenangan dan keselesaan rakyat, itu sepatutnyalah,” katanya.