Keputusan pengadil ketika aksi JDT, Kedah tepat: FAM

in Sukan by

Noor Azman. Foto Facebook FAM

JAWATANKUASA Penilaian Prestasi Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mendapati beberapa keputusan pengadil ketika aksi Liga Super di antara Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Selasa lepas, adalah tepat.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, jawatankuasa berkenaan telah melakukan penelitian dan berbincang mengenai beberapa insiden penting dalam perlawanan itu selepas menerima laporan penuh daripada Penilai Pengadil.

“Berdasarkan laporan yang dihantar Penilai Pengadil, beliau menyatakan bahawa keputusan-keputusan yang dibuat oleh pengadil pada perlawanan tersebut adalah betul dan tepat serta tiada sebarang isu atau kesilapan yang dilakukan.

“Laporan tersebut juga telah diteliti bersama oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang turut sependapat bahawa keputusan-keputusan yang dibuat oleh pengadil berkenaan adalah betul dan tepat tanpa sebarang kesilapan,” katanya menerusi kenyataan.

Sebelum ini, sesetengah pihak mempertikaikan beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil Hamdan Awang pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu, terutamanya insiden penalti.

Mengulas mengenai dua insiden yang menjadi pertikaian utama, Noor Azman berkata, jawatankuasa tersebut mendapati bahawa, secara jelas keputusan Hamdan pada kedua-dua insiden berkenaan adalah tepat berpandukan kepada Undang-undang Permainan.

Beliau berkata, dakwaan bahawa penyerang JDT, Bergson da Silva berkedudukan ofsaid ketika menjaringkan gol pertama skuad Harimau Selatan pada minit ke-36, bukannya ofsaid kerana semasa hantaran dibuat, pemain import dari Brazil itu tidak berada dalam kedudukan ofsaid.

“Berdasarkan Undang-undang 11 iaitu berkaitan ofsaid, kedudukan sama ada pemain itu ofsaid atau tidak adalah diambil kira ketika bola dimainkan (hantaran dibuat), bukannya semasa pemain menerima bola tersebut.

“Keduanya, mengenai sepakan penalti yang diberikan kepada JDT pada minit ke-57, ia memang keputusan yang tepat kerana berlaku tolakan oleh pemain KDA FC ke atas pemain JDT mengikut Undang-undang 12,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, walaupun pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan keputusan pengadil daripada KDA setakat ini, pihaknya tetap bertindak secara proaktif untuk meneliti laporan tersebut.

Ia bagi memastikan sama ada keputusan dibuat oleh pengadil itu adalah tepat atau sebaliknya, sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat, katanya.

Pada aksi tersebut, JDT yang telah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut, berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Kedah 3-1. – Bernama