Kerajaan peruntuk RM50.2 bilion untuk projek MRT3

in Khas by

Kerajaan memperuntukkan kos sebanyak RM50.2 bilion bagi porjek MRT 3. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – [KIKEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan kos sebanyak RM50.2 bilion bagi Projek Mass Rapid Transit (MRT) 3 dengan unjuran perbelanjaan tahun 2023 sebanyak RM3.3 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MRT 3 Fasa 1 dijangka siap pada tahun 2028 manakala Fasa 2 pada tahun 2030.

“Ia merupakan komitmen kerajaan melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer

“Projek ini melibatkan kos RM50.2 bilion dengan unjuran perbelanjaan tahun 2023 sebanyak RM3.3 bilion,” katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Dalam pada itu, ujar beliau, Bajet 2023 menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95 bilion berbanding belanjawan tahun lalu iaitu sebanyak RM75.6 bilion dan 2021 sebanyak RM64 bilion.

“Kini, projek Mass Rapid Transit (MRT) 2 Fasa 2 melibatkan stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah hampir siap dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2023 untuk manfaat penduduk Lembah Klang,” ujarnya.

Tambahnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM16.5 bilion disediakan bagi sektor pengangkutan melalui projek infrastruktur utama terutamanya Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, ECRL, RTS Link dan Central Spine Road.

“Insya-ALLAH, jajaran Pan Borneo Negeri Sarawak dijangka siap sepenuhnya untuk manfaat rakyat Sarawak dan Pan Borneo Negeri Sabah pula akan siap menjelang 2024.

“Bagi meningkatkan kualiti penyampaian serta menyediakan persekitaran yang kondusif, kerajaan turut mengutamakan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya persekutuan serta bangunan kerajaan dengan peruntukan RM11.4 bilion,” menurutnya.