Langkah tepat, berani hadapi ketidaktentuan ekonomi global

in Khas by

Nor Mohamed

SHAH ALAM – Langkah-langkah yang diumumkan menerusi Bajet 2023 adalah tepat dan berani dalam usaha menongkah badai yang bakal dihadapi negara tahun depan.

Ia berikutan lanjutan ketidaktentuan ekonomi global serta konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan yang menyumbang kepada inflasi.

Pengerusi, Khazanah Research Institute (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Bajet 2023 juga merupakan bajet bertanggungjawab, ditunjangi strategi yang realistik dan praktikal.

Menurutnya, dalam konteks Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, KRI menyambut baik langkah-langkah dalam Bajet 2023 untuk terus menyokong pewujudan peluang pekerjaan, pengukuhan perlindungan sosial, jaminan sekuriti makanan, menangani impak perubahan iklim serta merancakkan aktiviti ekonomi dipacu teknologi digital.

“KRI percaya penambahbaikan bantuan tunai dan subsidi berupaya meringankan beban masyarakat terutama golongan rentan dan berpendapatan rendah.

“Perluasan jaringan perlindungan sosial kepada pekerja yang bekerja sendiri dan suri rumah di bawah Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melindungi golongan tersebut daripada risiko kejutan ekonomi.

“Penurunan kadar cukai pendapatan pula akan menambah pendapatan boleh guna golongan pertengahan yang tertekan dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, insentif untuk mengembangkan industri aeroangkasa, farmaseutikal, peranti perubatan, automotif dan petrokimia serta peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baru.

Katanya, peruntukan untuk program latihan kemahiran oleh HRDCorp serta Dana Inovasi Digital dilihat dapat memperkasakan ekonomi rakyat melalui peningkatan kemahiran secara holistik.

“Memastikan kelestarian dan kemampanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah penting lantaran sumbangan besar mereka dalam pertumbuhan ekonomi dan penyediaan peluang pekerjaan.

“Pengurangan kadar cukai perniagaan dan inisiatif Semarak Niaga sebanyak RM45 bilion melalui kemudahan kredit mikro dan pinjaman mudah, jaminan pembiayaan serta pemberian geran one-off kepada penjaja berupaya memastikan PMKS kekal berdaya saing.

“Malah, peruntukan RM10 bilion dari BNM untuk automasi dan pendigitalan PMKS mampu melonjakkan lagi prestasi mereka kepada ekonomi negara,” katanya.

Ujar beliau lagi, usaha menangani isu perubahan iklim melalui peruntukan inisiatif Rancangan Tebatan Banjir adalah tepat memandangkan bencana alam kini berlaku lebih kerap dan kencang.

“Ia bukan sahaja memberi kesan langsung terhadap kehidupan penduduk setempat malah boleh menjejaskan kelestarian sekuriti makanan negara.

“Sekuriti makanan negara pula terus dimantapkan dalam Bajet 2023 melalui pelaburan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta subsidi dan insentif kepada petani dan nelayan,” katanya.