Malaysia di landasan tepat tangani penyeludupan rokok

in Khas by

Nedal

SHAH ALAM – British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) yakin langkah terbaharu diumumkan kerajaan Malaysia dalam membasmi aktiviti penyeludupan rokok menerusi Bajet 2023 berupaya untuk menghentikan aktiviti haram tersebut.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, langkah tersebut dilihat meletakkan negara di landasan yang tepat untuk menangani isu berkenaan.

“BAT Malaysia percaya langkah ini akan mengukuhkan lagi usaha dalam memerangi pasaran gelap tembakau yang masih tinggi secara berterusan di mana 56.1 peratus daripada rokok yang dijual di Malaysia adalah produk yang dikecualikan cukai.

“Ini akan membantu menangani ketirisan hasil yang pada masa ini kerugian berjumlah RM5 bilion setahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Semasa membentangkan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Multi-Agency Task Force akan terus dipergiatkan bagi membasmi aktiviti penyeludupan termasuk membabitkan rokok.

Katanya, ia akan dilakukkan dengan cara memperketatkan kawalan import rokok dan produk minuman keras melalui tempat pendaratan sah termasuk jeti persendirian.

Zafrul menambah, kerajaan akan turut menjadikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam sebagai ‘single exit point’ bagi wilayah utara dan menyediakan ganjaran khas bagi memperkasa usaha membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras.