Pecat ahli serlah sikap pemimpin UMNO tidak boleh ditegur

in Politik by

Mahfuz

ALOR SETAR – Penggantungan beberapa ahli UMNO yang lantang mengkritik parti itu menyerlahkan sikap pemimpin UMNO yang tidak boleh ditegur.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, lebih mengejutkan apabila susulan tindakan itu menyebabkan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Zulhasnan Rafique melepaskan jawatan.

Menurutnya, senario itu menunjukkan kepimpinan tertinggi UMNO tidak boleh menerima kritikan khususnya daripada dalaman untuk kebaikan parti itu sendiri.

“Agak mengejutkan apabila Zulhasnan lepaskan jawatannya. Saya difahamkan ia berpunca daripada rasa tidak puas hati beliau berhubung proses pemecatan dan penggantungan yang didakwa tidak melalui proses jawatankuasa disiplin sebaliknya menggunakan fasa-fasa tertentu, iaitu kuasa Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Ini menyebabkan beliau berasakan dirinya sudah tidak diperlukan kerana tidak melalui proses yang sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Pada Jumaat lalu, Mesyuarat MKT UMNO memecat keahlian Ketua UMNO Cawangan Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan yang juga blogger, Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada parti berkuat kuasa serta-merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9.

Selain Zaharin, dua lagi pemimpin parti, iaitu Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail digantung keahlian parti selama enam tahun.

Bagaimanapun, pada Isnin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan UMNO memecat atau menggantung beberapa ahli dibuat secara kolektif dan atas dasar musyawarah demi kepentingan parti semata-mata.

Menurutnya, tiada mana-mana individu berkepentingan di sebalik keputusan yang dibuat, malah tindakan itu diputuskan bersama demi kemaslahatan UMNO.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan tindakan UMNO adalah tidak wajar dan memberi gambaran sikap kepimpinan parti itu yang tidak terbuka menerima teguran daripada ahli parti sendiri.

“Rakyat tidak seharusnya memilih parti yang pemimpinnya langsung tidak boleh dikritik.

“Seolah parti itu mengamalkan pentadbiran ala kuku besi, semua arahan perlu dipatuhi, kalau tidak mahu berdepan tindakan disiplin,” katanya lagi.

Menurutnya, mengenakan tindakan disiplin terhadap Zaharin dan Tajuddin yang sememangnya secara terbuka mengkritik parti mungkin boleh diterima, namun kesalahan yang dikaitkan dengan Mohd Yusof agak mengejutkan.

“Kita sesama rakan parti politik pun terkejut. Kalau macam Tajuddin yang selalu vokal mengkritik pemimpin UMNO, mungkin ada asasnya.

“Namun apa kesalahan Mohd Yusof, ini jelas menunjukkan sikap parti itu yang tidak boleh terima teguran, kerana Mohd Yusof hanya kritik dalam kumpulan WhatsApp ketua-ketua bahagian dan ia dianggap satu kesalahan yang melanggar disiplin parti,” katanya.

Mahfuz turut melahirkan rasa simpati kepada ketiga-tiga pemimpin terbabit dan percaya tindakan mereka menegur adalah bukan atas kepentingan peribadi, sebaliknya mengkritik sesuatu berkaitan dengan kepentingan negara dan rakyat.