Pinda segera Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

in Nasional by

Che Abdullah (tengah) pada sidang media di Bangunan Parlimen.

SHAH ALAM – Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah pada Rabu mencadangkan pindaan terhadap peruntukan berkaitan perlindungan kepada pemberi maklumat dilaksanakan segera.

Pengerusi KRPPM Integriti, Governan dan Anti Rasuah, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pindaan tersebut harus menjadi fokus keutamaan pada waktu ini kerana kelemahan yang terkandung di dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 membantutkan usaha pembanterasan rasuah untuk bergerak secara telus di negara ini.

Tegas beliau, kelompangan kepada peruntukan berkaitan boleh disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu dan ini boleh menyebabkan pembongkaran salah laku rasuah sukar dilakukan.

Selain itu katanya, keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara juga perlu dipertingkatkan.

“Kita harus mengakui bahawa peranan pemberi maklumat akan turut menjamin pentadbiran negara yang lebih berakauntabiliti melalui maklumat-maklumat yang diberikan demi memelihara kepentingan awam.

“Cadangan pindaan-pindaan berkaitan perlindungan kepada pemberi maklumat yang dinyatakan adalah terhadap Seksyen 4, Seksyen 6(1), Seksyen 7, Seksyen 8(1) & (4) dan Seksyen 11 bagi Akta Perlindungan Maklumat 2010, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya di Bangunan Parlimen.

Tambahnya, pindaan yang dilaksanakan dengan kadar segera akan membentuk sebuah mekanisme kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang boleh merugikan negara boleh disekat di peringkat awal lagi.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] ialah akta yang baharu bagi memperuntukkan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar.