RM2.3 bilion untuk pembelajaran kondusif, selamat di sekolah

in Khas by

Kerajaan menambah peruntukan kepada RM2.3 bilion bagi ruang pembelajaran kondusif dan selamat untuk murid-murid sekolah. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan menambah peruntukan kepada RM2.3 bilion bagi ruang pembelajaran kondusif dan selamat untuk murid-murid sekolah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan RM1.7 bilion tahun ini.

“Dari jumlah tersebut RM1.1 bilion untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

“Sebanyak RM1.2 bilion naik taraf infra struktur sekolah daif terutamanya untuk menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya untuk anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di Sabah dan 182 projek di Sarawak,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, kerajaan pada tahun 2023 akan mula membina lima sekolah baharu dengan RM430 juta melibatkan SMK Nabalu, Sabah, SMK Dudong Sarawak,SK Paya Dusun Terengganu, SK Cyberjaya 2 dan SK Denai Alam Selangor.