Serah SPR tetapkan tarikh baharu PRK DUN Bugaya: Speaker

in Politik by

KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh baharu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Bugaya, kata Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.

Beliau berkata, pihaknya hanya menunggu keputusan daripada SPR untuk menentukan tarikh baharu penamaan calon bagi membolehkan PRK DUN Bugaya diadakan, susulan perintah penamatan ordinan dan proklamasi darurat di kawasan itu berkuat kuasa semalam.

“Sekarang, terserah kepada SPR untuk bermesyuarat dan menetapkan tarikh baharu PRK DUN Bugaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kadzim berkata, pihaknya sebelum ini telah membuat pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN Bugaya, dan menurutnya SPR telah menetapkan 16 Januari 2021 bagi mengadakan PRK, namun dibatalkan dan ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat di kawasan berkenaan.

Kerusi DUN Bugaya kosong susulan kematian penyandangnya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020 kerana sakit buah pinggang.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September 2020, Manis Muka yang bertanding atas tiket Parti Warisan berjaya mempertahankan kerusi DUN Bugaya dengan majoriti 6,005 undi selepas memperoleh 8,557 undi.

Manis Muka yang bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985, menewaskan enam pencabar lain termasuk calon Perikatan Nasional Mohd Daud Tampokong yang hanya memperoleh 2,552 undi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa semalam.

Perintah pembatalan itu dinamakan sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) dan (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah; serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.

Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

Dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 Oktober yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara, pembatalan itu berikutan Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa keperluan kesemua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan yang diisytiharkan pada 2020 susulan wabak penyakit berjangkit Covid-19, telah berakhir. – Bernama