Surau 57 tahun perlu diganti

in Edisi Kelantan by

Masjid Al-Mahmoodi, Kampung Pasir Kasar, Sering, Kota Bharu kini sedang dalam pembinaan dan masih memerlukan dana untuk siap sepenuhnya.

KOTA BHARU – Penduduk Kampung Pasir Kasar, Sering, di sini kini memerlukan masjid yang lebih besar untuk menganjurkan aktiviti keagamaan selain tempat solat yang selesa.

Surau Al-Mahmoodi di kampung itu kini sudah berusia 57 tahun, hanya mampu menampung 50 jemaah pada satu masa dan masih kekurangan infrastruktur.

Menurut bendahari masjid, Abdul Hakim Abdullah, pihak pengurusan sedang berusaha menaik taraf masjid di atas tanah seluas 1,200 meter.

“Kami berhasrat membina masjid seluas 235.9 meter persegi yang akan dapat menampung sehingga 150 jemaah pada satu masa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, anggaran kos yang diperlukan ialah RM500,000 dan masjid yang kini dalam pembinaan sudah siap 50 peratus.

“Kami memerlukan masjid yang lebih moden dan lengkap dengan pelbagai fasiliti.

“Pertambahan penduduk saban tahun menyebabkan surau lama tidak lagi mampu menampung jemaah yang semakin ramai,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mahu membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui Agro Bank di nombor akaun 1007 5510 -0000- 9198 atas nama Tetuan Masjid Al-Mahmoodi.

“Mereka juga boleh mengunjungi laman sesawang masjidalmahmoodisering.com atau menghubungi saya di talian 019-9391650 untuk keterangan lanjut,” kongsi Abdul Hakim.