Bajet 2023: Hanya gula-gula, tiada intipati tangani rasuah

in Khas by

Mujahid

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan pada Jumaat tidak mengandungi intipati besar untuk mendepani masalah utama negara iaitu rasuah.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, perkara itu berdasarkan kepada pengukuhan dan keberkesanan untuk mengelak ketirisan yang masih lagi tidak diperincikan dan dipertegaskan.

“Dengan spekulasi pilihan raya umum (PRU) akan diadakan sebelum hujung tahun ini, Bajet 2023 hanyalah gula-gula tanpa ada intipati untuk mendepani masalah yang lebih besar iaitu rasuah.

“Intipatinya tidak berbeza dengan sebelumnya dan perkara yang membezakan hanyalah pengenalan Pemetaan SDG (Sustainable Development Goals) dalam sektor-sektor yang diperuntukkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak itu berkata, komitmen menangani rasuah perlu diperkenalkan agar negara dapat melalui fasa pemulihan dengan membina ketahanan nasional dan pengurusan lebih efektif serta sifar ketirisan.

Katanya, satu akta baharu untuk perolehan kerajaan (GPA) yang lebih telus juga diperlukan selain akta fiskal bertanggungjawab (FRA) untuk memantau perolehan dan tatakelola kewangan dalam kontrak kerajaan.

“Mendanai parti politik dan mengkayakan oligarki tidak ditangani dan rasuah dalam kontrak kerajaan menjadi sistemik dan sudah membarah.

“Kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati berlaku ketirisan dalam agihan kontrak terhadap kontraktor Bumiputera.

“Peratusan antara 10 hingga 15 peratus daripada nilai kontrak diagihkan kepada pelobi atau orang tengah manakala 13 hingga 15 peratus lagi diagihkan kepada kumpulan politik dan birokrat,” katanya.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.

Belanjawan itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.