Bajet 2023: Kedah mohon perincian dua perkara

in Khas by

Muhammad Sanusi

ALOR SETAR – Bajet 2023 merupakan belanjawan yang mengutamakan kebajikan rakyat untuk memulihkan ekonomi setelah negara terjejas teruk lebih dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dalam keadaan ekonomi global masih belum pulih sepenuhnya selain dijangka mengalami penguncupan tahun hadapan, Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disifatkan sebagai berani dan berkeyakinan.

Namun, Kedah mohon diperincikan dua perkara, iaitu mengenai peruntukan pampasan atau dana khas bagi pemuliharaan dan pengekalan Hutan Simpan Ulu Muda selain perbelanjaan pembangunan berjumlah RM95 bilion.

“Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengapa dalam pembentangan Bajet 2023 tidak dinyatakan mengenai pampasan tersebut.

“Ini kerana permohonan pampasan sudah dihantar kepada Kerajaan Persekutuan atas kepentingan untuk memastikan keadilan kepada 2.2 juta rakyat Kedah yang selama ini berkorban mengekalkan kawasan hutan seluas 163,000 hektar,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Sabtu.

Menurutnya, Hutan Simpan Ulu Muda perlu dikekalkan atas kedudukannya sebagai kawasan tadahan yang menjadi sumber air bukan sahaja untuk Kedah, termasuk Pulau Pinang dan Perlis.

“Selain keperluan harian bekalan air untuk rakyat Kedah dan Pulau Pinang, ia juga berfungsi sebagai sumber pengairan sawah padi di tiga negeri berkenaan.

“Sebagai negeri pembekal utama beras negara, yang menyumbang 43 peratus daripada keperluan nasional, Kedah perlu mengekalkan kawasan sawah padi atas dasar tanggungjawab,” ujarnya.

Muhammad Sanusi tegaskan, ia sebenarnya membantu kerajaan Persekutuan memastikan bekalan makanan asasi rakyat tidak terjejas, terutama dalam mempergiatkan usaha memastikan jaminan keselamatan makanan.

“Pengorbanan besar rakyat dan kerajaan Kedah ini menyebabkan berbilion wang kerajaan Persekutuan dapat dijimatkan kerana tidak perlu mengimport beras lebih banyak.

“Namun, ramai yang tidak sedar pengorbanan besar Kedah untuk negara. Kami mengekalkan kawasan penanaman padi sedia ada bagi memastikan bekalan beras negara tidak terjejas.

“Kedah kehilangan pendapatan berbilion ringgit yang seharusnya menikmati pulangan lebih tinggi daripada cukai tanah dan bayaran premium jika menebus guna dan menukar status tanah pertanian (sawah padi) kepada industri,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi memberitahu, Kedah mungkin menempa nama sebagai negeri industri maju setanding negeri-negeri lain sekiranya kawasan penanaman padi terbabit dibangunkan kawasan industri.

“Perkara kedua yang saya mohon pencerahan adalah berkaitan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM95 bilion.

“Pada 27 September 2021, Perdana Menteri menyebut enam negeri kurang membangun akan diberikan tumpuan, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan itu diagihkan ke enam negeri ini.

“Selain Sabah mendapat peruntukan pembangunan RM6.3 bilion dan Sarawak (RM5.4 bilion), fokus empat lagi negeri berkenaan tidak dijelaskan, adakah dasar itu masih diteruskan?” soal Muhammad Sanusi.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih atas peruntukan RM25 juta untuk pembangunan lalu lintas digital dan pusat data alternatif di Special Border Economic Zone (SBEZ) Bukit Kayu Hitam.

“SBEZ strategik dibangunkan sebagai hab industri dan logistik di sempadan selain kedudukannya di tengah-tengah wilayah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

“Peruntukan untuk pendigitalan operasi di kawasan tersebut amat signifikan dan diyakini dapat memacu pembangunan SBEZ dengan lebih pesat,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan dimohon agar memperincikan peruntukan bagi pembangunan empat bandar sempadan termasuk Bukit Kayu Hitam selain Kalabakan di Sabah serta Ba’kelalan dan Tebedu di Sarawak.

“Apakah bentuk pembangunan untuk Bukit Kayu Hitam dan berapa tempoh keseluruhan projek terbabit. Berapa jumlah peruntukan sebenar yang disalurkan agar mudah diselaraskan dengan perancangan bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035,” ujarnya.

Muhammad Sanusi turut gembira apabila 57,635 keluarga pesawah di Kedah bakal menerima bantuan RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan selain kenaikan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) RM200 sebulan selama empat bulan kepada pekebun kecil.

“Pengumuman berhubung kebenaran untuk jalan pertanian diselenggara menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) melegakan kerana jalan di kebanyakan kawasan luar bandar di Kedah berstatus jalan pertanian yang digunakan sebagai jalan awam,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri serta seluruh ‘Keluarga Malaysia’ atas pencapaian pemulihan ekonomi negara yang sangat baik, dengan kadar pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, yang tertinggi di Asia Tenggara.