Hamidah pertimbang bertanding di Tapah, Sungai Rapat

in Politik by

Hamidah

IPOH – Bekas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman menyatakan kesediaan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurut Hamidah, beliau sedang mempertimbangkan permintaan daripada rakyat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat.

“Ramai pemimpin masyarakat di DUN Sungai Rapat mahu saya kembali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terutama yang pernah bersama saya termasuklah dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri.

“Mereka menyatakan secara lisan termasuk menghubungi saya, sampaikan ada pimpinan UMNO yang sedia dipecat untuk bantu saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Hamidah mengulas mengenai status Facebooknya bahawa ramai yang meminta beliau untuk bertanding semula atas tiket bebas di DUN Sungai Rapat.

Beliau yang kini tidak menyertai mana-mana parti turut ‘mengintai’ kerusi Parlimen Tapah.

“Ada juga dalam kalangan pengundi Tapah yang minta saya bertanding di Parlimen Tapah.

“Saya belum buat keputusan lagi jadi akan fikirkan perkara ini secara serius,” katanya.

Hamidah merupakan bekas ADUN Sungai Rapat selepas memenangi kerusi itu pada 2008 ketika mewakili BN.

Beliau yang pernah menjadi Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak keluar parti itu dengan menyertai Putra bagi meneruskan perjuangan pada tahun 2018.

Kecewa dengan keputusan Putra menyertai Gerakan Tanah Air (GTA), Hamidah mengumumkan meninggalkan Putra dengan meletak semua jawatan dalam organisasi parti itu.