‘Hari ini sangat istimewa bagi saya’

in Khas by

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub menyampaikan ucapan dalam Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. – Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

PUTRAJAYA – Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini pada Sabtu.

Berucap di hadapan kira-kira 8,000 peserta program My #QuranTime, Hussamuddin yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyifatkan program tersebut begitu dekat di hatinya.

“Sebenarnya hari ini adalah hari yang sangat istimewa bagi saya. Ini kali pertama saya sendiri khatam tadabbur 30 juzuk al-Quran, walaupun bukan secara mendalam.

“Selama ini saya hanya jadi pemerhati (kepada program My #QuranTime) tetapi hari ini hari bersejarah (bagi saya).

“Ditambah pula saya seorang survival Covid-19 stage lima. Saya berada di hospital selama 17 hari dan hampir ditidurkan,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Menyentuh mengenai program yang dimulakan lebih dua tahun lalu itu, Hussamuddin berkata, ia merupakan cetusan idea daripada WUIF yang telah bertapak lebih lapan tahun lalu.

“Sebenarnya My #QuranTime ini adalah cetusan daripada kami untuk MengQurankan Bangsa,” katanya.

Hussamuddin dalam masa sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong program tersebut.

Program My #QuranTime diasaskan WUIF dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan TV AlHijrah sebagai penyiar utama.

My #QuranTime merupakan program interaksi dengan al-Quran melalui tadabbur 114 surah/ 604 halaman yang bersiaran di TV AlHijrah dan platform Facebook My #QuranTime dan YouTube My #QuranTime pada pukul 12 hingga 1 tengah hari setiap hari bermula 8 Jun 2020.

Sehingga kini, lebih 15 juta penonton dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand mengikuti program berkenaan.