Jentera UMNO Melaka, Perlis siap siaga hadapi PRU15

in Politik by

Ab Rauf
KUALA LUMPUR – Jentera UMNO Melaka dan Perlis kini dalam siap siaga dan hanya menunggu pengumuman pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Perhubungan UMNO Perlis, Azizan Sulaiman, masing-masing menyifatkan jentera parti kini telah bersedia dan akan digerakkan pada bila-bila masa.

Ab Rauf berkata, jentera UMNO Melaka kini 90 peratus siap siaga dan hanya menunggu masa untuk mengaktifkan kembali jentera parti selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri November tahun lepas.

“Kita telah menterjemahkan kekuatan jentera ini pada pilihan raya negeri yang lepas dan ia akan diaktifkan semula untuk kita menguruskan jentera pilihan raya umum yang akan datang tidak lama lagi.

“Cuma yang akan menentukan nanti adalah apabila pengumuman nama-nama calon yang akan diputuskan oleh pucuk kepimpinan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah di Melaka pada Sabtu.

Sementara itu, Azizan ketika dihubungi berkata, jentera UMNO Perlis berada pada tahap terbaik dan semua peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri serta bilik gerakan UMNO negeri telah bersedia 100 peratus.

Beliau berkata, nama-nama calon yang akan bertanding kini dalam peringkat pertimbangan akhir dan sedang diteliti oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis Datuk Seri Azlan Man sebelum diserahkan kepada pucuk pimpinan parti. – Bernama