MAIK sumbang RM30,000 bantu mangsa banjir di Pakistan

in Edisi Kelantan by

MAIK menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 menerusi badan bukan kerajaan iReach Malaysia bagi membantu mangsa banjir di Pakistan.Bantuan tersebut bagi memastikan mangsa-mangsa yang tinggal di khemah usang secara berselerak mendapat perhatian dan merasa lebih selesa.

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 menerusi badan bukan kerajaan iReach Malaysia bagi membantu mangsa banjir di Pakistan.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, hasil harta yang diinfakkan oleh orang ramai kepada MAIK telah digunakan bagi meringankan beban penderitaan mangsa akibat banjir monsun di sana.

Menurut beliau, misi bantuan kemanusiaan iReach Malaysia yang diketuai oleh Johan Arif Ismail bersama tujuh sukarelawan telah berada di Pakistan sejak 3 Oktober lalu dan dijangka berkampung selama 10 hari.

Beliau berkata, kali ini mereka membawa makanan dan ubat-ubatan untuk diagihkan kepada sekitar 2,000 penduduk kawasan teruk terjejas, antaranya di Wilayah Sindh dan Wilayah Selatan Punjab.

“MAIK turut menyumbangkan sejumlah wang ringgit untuk membeli barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di sana.

“Selain itu sebanyak 500 pek makanan yang berupa 20 kilogram beras dan kit hygiene diedarkan di Food Distribution Centre wilayah Sindh pada Sabtu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menjelaskan misi bantuan itu turut mendapat kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) di sana supaya bantuan dapat diagihkan dengan cepat.

**media[1937225]**

Menurutnya, ia bagi memastikan mangsa-mangsa yang tinggal di khemah usang secara berselerak mendapat perhatian dan merasa lebih selesa.

“Sama-sama kita doakan supaya misi ini berjalan dengan selamat memandangkan di sana mereka berdepan dengan cuaca kering dan berdebu selain terdedah dengan taun, malaria, denggi termasuklah pelbagai penyakit bawaan air juga lalat.

“Terima kasih kepada semua penyumbang kerana bersama-sama MAIK telah memberikan kegembiraan kepada mereka yang menderita di Pakistan. Hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya,” katanya.

Sebelum ini, menerusi NGO sama, MAIK telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada penduduk Palestin yang mana kurang dari 24 jam, sumbangan MAIK sudah tiba di Bumi Palestin ketika itu.

Sementara itu, Johari Arif mengucapkan terima kasih kepada pihak MAIK yang sentiasa memberikan sumbangan dalam menjayakan misi kemanusian dikendalikan oleh iReach Malaysia.

Berdasarkan kenyataan Menteri Luar Pakistan Bilawal Bhutto Zardari, seramai lebih 1,500 orang terkorban dalam banjir itu yang turut menjejaskan 33 juta penduduk.

Menurut AFP, hujan monsun melanda Pakistan buat kali pertama itu telah mengorbankan 1,700, nyawa selain memusnahkan 2 juta rumah, dan menyebabkan satu pertiga daripada negara itu ditenggelami air serta 8 juta orang kehilangan tempat tinggal.