Muhyiddin sangsi kemampuan kerajaan laksana Bajet 2023

in Politik by

Muhyiddin (dua dari kanan) sebelum merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Tangkak, pada Sabtu.

TANGKAK – Negara akan terjejas dan mendapat masalah sekiranya Bajet 2023 dibentangkan pada Jumaat tidak mampu dilaksanakan dengan berkesan yang melibatkan peruntukan amat besar.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan mempunyai komitmen kewangan yang besar dalam keadaan pendapatan kerajaan dan ekonomi semakin merosot, sedangkan jumlah peruntukan bajet serta perbelanjaan kerajaan semakin bertambah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak mahu bajet tersebut sekadar menjadi ‘halwa telinga’ dan gula-gula untuk pilihan raya umum (PRU).

“Saya kurang pasti keupayaan kerajaan untuk mengurus bajet berkenaan kerana yang tinggal untuk pembangunan jauh lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Saya sendiri masih kurang faham untuk bajet kali ini dan akan meneliti dengan lebih mendalam sama ada yang dijanjikan boleh dilaksanakan dan bukannya bajet pilihan raya sahaja,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh di Dewan Geliga, pekan Gersik di sini pada Sabtu.

Bajet 2023 yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berjumlah RM372.3 bilion meningkat berbanding Bajet 2022 sebanyak RM332.1 bilion.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, gabungan tersebut harap dapat memberi tawaran yang lebih baik untuk rakyat dalam Bajet 2023 sekiranya menang PRU15.

“Sekiranya PN mentadbir negara dan menang pilihan raya, kita bukan setakat nak melaksanakan perkara itu, kalau ada perkara yang perlu kita perbaiki dan perlu ditambah baik daripada segi strategi, pengurusan kewangannya dan tumpuan fokus kumpulan tertentu, kita akan laksana jauh lebih baik daripada itu.

“Apa yang agak kurang pasti ialah tentang keupayaan sebenar kerajaan untuk mengurus belanjawan itu kerana sebahagian besar peruntukan ialah untuk membayar gaji ‘operating expenditure’ dan baki lagi untuk pembangunan yang agak jauh lebih kecil,” katanya.