Pasar tani kekal kini dikenali Pasar Tani Keluarga Malaysia

in Nasional by

Ismail Sabri mencuba masakan daging lempap ketika hadir ke Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Felda Palong hari ini. – Foto Bernama

SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan bahawa nama pasar tani kekal atau PTK ditukar kepada Pasar Tani Keluarga Malaysia (PTKM).

Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan PTKM Palong, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Menurut MAFI, sehingga kini terdapat 36 buah lokasi PTKM di seluruh negara yang beroperasi dengan melibatkan implikasi kewangan keseluruhan pembinaan berjumlah RM151.57 juta.

Jelasnya, PTKM Palong yang siap dibina dan menelan belanja RM2.81 juta itu akan memberi manfaat kepada 25 orang peserta serta akan beroperasi setiap hari.

“Impak pembinaan PTKM Palong ini akan meningkatkan nilai jualan peserta sehingga 30 peratus dan mewujudkan 100 peratus peluang pekerjaan bagi komuniti setempat iaitu khusus untuk warga Felda Palong.

“PTK bertujuan untuk mewujudkan peluang pasaran kepada petani dan usahawan bagi memasarkan hasil pertanian mereka terus kepada pengguna di bawah tapak yang kekal,” katanya dalam satu kenyataan.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Tan Sri Dato’ Mohd Yazid; Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Haji Mohd Salim Sharif dan Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Haji Ghazale Muhamad.

“Seramai 2,201 peserta PTKM telah mendapat manfaat dalam menjalankan perniagaan di bawah PTKM dan pencapaian nilai jualan PTKM sehingga September 2022 telah mencatatkan RM165 juta.

“Untuk rekod, lima buah PTKM masih dalam pembinaan iaitu di Seberang Jaya, Kuala Kangsar, Putrajaya, Kuala Lipis dan Cameron Highland, ujarnya.

MAFI dalam kenyataan tersebut juga berkata, pihaknya akan akan terus proaktif dalam memperkasakan rantaian bekalan seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan.