Pengayuh beca Pulau Pinang kembali tersenyum

in Edisi by

Soon Hin (tengah) dan Sharon (kiri) menaiki beca selepas sidang media Program CSR oleh Ascott Gurney Pulau Pinang pada Jumaat.RoshidiPuveneswaranTan Kee Heng

GEORGETOWN – Dua tahun lalu, kehidupan mereka terhimpit sehingga langsung tiada pendapatan akibat penularan Covid-19, namun kini, pengayuh beca sudah mampu untuk kembali tersenyum.

Beberapa pengayuh beca yang ditemui melahirkan rasa bersyukur setelah keadaan ekonomi kembali normal apabila pendapatan mereka kini mencecah RM200 sehari, malah lebih banyak ketika hari minggu dan musim cuti sekolah.

Roshidi Abdul Rahman, 58 dari Lebuh Melayu di sini berkata, dia pernah terputus pendapatan dua tahun lalu selepas kerajaan melarang rentas negeri kerana pandemik Covid-19.

**media[1936070]**

Kata bapa dua anak itu, dia terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan di Taman Botanical demi kelangsungan hidup kerana perlu menyara isterinya yang tidak bekerja.

“Ketika larangan merentas negeri dahulu, pendapatan saya kosong, langsung tiada. Duit simpanan pun habis. Memikirkan keadaan semakin teruk, saya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di Taman Botanical dengan gaji bulanan RM1,500.

“Selama dua tahun saya bekerja di situ dan selepas keadaan kembali seperti biasa, saya kembali mengayuh beca. Kini pendapatan semakin baik, syukur,” katanya yang mengayuh beca sejak 16 tahun lalu.

Sementara itu, K Puveneswaran, 43 pula berkata, dia menghadapi tekanan selepas terputus pendapatan selain perlu menyara ibu, bapa dan neneknya yang sudah tua.

“Memang perit kehidupan kami sekeluarga kerana hanya saya yang bekerja dalam keluarga. Selama dua tahun, kami terpaksa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

**media[1936071]**

“Saya hanya berharap dengan duit simpanan sahaja dan sekarang, pendapatan saya sikit sikit sudah kembali normal. Saya mampu meraih lebih RM100 dalam sehari. Ia akan bertambah jika cuti umum atau cuti sekolah,” katanya.

Seorang lagi pengayuh beca, Tan Kee Heng, 66 dari Jelutong berkata, dia hanya makan sekali sahaja dalam sehari kerana tiada pendapatan ketika larangan merentas negeri dua tahun lalu.

“Hidup sangat susah, tiada pendapatan. Makan pun sehari sekali.

**media[1936071]**

“Nasib baik kadang-kadang ada orang yang membantu bagi makanan selain ada bantuan RM200 daripada kerajaan negeri,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, ada segelintir pengayuh beca terpaksa hidup melarat apabila terpaksa tidur di dalam beca dan mandi di tandas awam kerana tiada pendapatan untuk menyewa bilik atau rumah.

Pendapatan mereka tidak menentu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan keadaan bertambah buruk selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 di enam negeri termasuk Pulau Pinang pada 13 Januari 2021.

Sementara itu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, terdapat hampir 200 penunggang beca yang berdaftar di Pulau Pinang ketika ini.

Beliau berkata, pengayuh beca telah wujud sejak 1940-an apabila penduduk tempatan menggunakan beca sebagai pengangkutan utama mereka.

“Mereka adalah sebahagian daripada warisan dan identiti Pulau Pinang. Oleh itu, kita harus melakukan apa yang kita mampu untuk memelihara kewujudan beca ini.

“Kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu telah membantu pengayuh beca dengan pemberian elaun bulanan selain membaik pulih beca secara berperingkat agar beca yang uzur kembali cantik untuk menarik minat pelancong,” katanya pada sidang akhbar di Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Ascott Gurney Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Ascott Gurney Pulau Pinang mengumumkan inisiatifnya untuk membantu hampir 200 pengayuh berdaftar dalam menanggung kos pembaikan dan baik pulih beca mereka.

Pengurus besarnya, Sharon Ang berkata, mereka akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Beca Pulau Pinang untuk tujuan itu selain menyediakan pakej dengan memasukkan perkhidmatan beca secara percuma kepada pelanggan hotel.

“Kita akan menjalankan kerja membaik pulih ini secara berperingkat dan dijangka kita mampu untuk menyiapkan semua kerja membaik pulih pada Mei tahun hadapan.

“Kos pembaikan adalah antara RM200 hingga RM500 mengikut keadaan beca,” katanya.