Perluas progam Khatam Tadabbur ke setiap negeri

in WacanaQuran by

Razlee (kiri) dan Tarmizi – FOTO ROSLI TALIB.

PUTRAJAYA – Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 diharap akan diperluaskan di setiap negeri dan dibuat secara besar-besaran.

Qari, Razlee Asmat berkata, ia supaya dapat menarik masyarakat mencintai al-Quran seterusnya menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara Islam.

“Macam Brunei, kita lihat betapa kepimpinan mereka, sultan mereka fokus kepada Islam semata-mata.

“Kita pun Malaysia perlu tunjukkan seperti itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang bertemakan ‘Kerinduan dan Kenangan Terindah Bersama al-Quran’ menjelang sambutan Maulidur Rasul 1444H menjadi platform penyatuan asatizah dan peserta yang datang dari pelbagai latar belakang.

My #QuranTime merupakan program kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) serta TV Alhijrah sebagai penyiar utama.

Program ini adalah kesinambungan Malaysia #QuranTime yang mula diperkenalkan pada 20 Mac 2020 di platform TV Alhijrah dengan tujuan memberi pengisian rohani bagi rakyat Malaysia yang berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Sorang lagi qari, Tarmizi Abdul Rahman pula berpandangan, Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 sangat berbeza dengan program-program al-Quran yang pernah disertainya sebelum ini.

“Kenapa saya kata berbeza? Sebab khatam pada kali ini bukan hanya kepada bacaan tetapi ada satu lagi iaitu khatam bacaan dan kefahamaan, iaitu tadabbur.

“Sebenarnya, itu satu suasana khatam yang sangat bernilai dan berharga sepanjang lebih 20 tahun saya dalam bidang al-Quran.

“Saya berasa sangat bersyukur (menyertai program hari ini),” ujarnya.