Sanggup datang Malaysia demi khatam tadabbur My #QuranTime

in Khas by

Pengiran Siti Awa bersama suaminya sanggup hadir ke Malaysia bagi menyokong Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0.

PUTRAJAYA – Demi Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0, sepasang suami isteri dari Brunei sanggup terbang ke Malaysia semata-mata ingin menyatakan sokongan mereka.

Pengiran Siti Awa Pengiran Bakar berkata, dia dan suami, Aslan Damit merupakan peminat setia program My #QuranTime yang disiarkan di TV Alhijrah bermula 8 Jun 2020.

Justeru katanya, setelah mengetahui tentang penganjuran acara khatam tadabbur tersebut pada Sabtu, mereka berdua nekad untuk hadir.

“Kami memang mengikuti program ini dari awal disebabkan di Brunei juga ada siaran TV Alhijrah.

“Banyak segmen yang diperkenalkan dalam rancangan tersebut termasuk bacaan al-Quran daripada qari terkenal, ajaran tajwid dan tadabbur.

“Mungkin juga disebabkan penggunaan bahasa yang santai, lebih mudah untuk kami fahami maksud yang nak disampaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0. di sini pada Sabtu.

Pengiran Siti Awa juga mengakui teruja apabila mengetahui program berkonsepkan keagamaan itu akan diteruskan untuk musim akan datang.

“Diharapkan rancangan ini akan memberi impak positif bukan sahaja untuk seluruh rakyat Malaysia, malah berupaya memberi manfaat kepada lebih ramai umat Islam di luar sana,” luahnya.

Pasangan itu baru-baru ini turut menyumbang dana lebih RM3,000 melalui Tabung Gerakan Ummah.