Setiap parti boleh keluarkan pandangan bantah PRU15: Ahmad Faizal

in Politik by

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika sidang media sempena Program Hari Sukan Negara 2022. -Foto Bernama

PUTRAJAYA – Setiap parti politik berhak menyatakan pandangan mengenai apa jua perkara termasuk membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini kerana Malaysia mengamalkan demokrasi, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Merujuk laporan 12 ahli Kabinet dari Bersatu dan Pas tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini kerana bimbang risiko banjir dan telah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan pendirian, beliau berkata: “Ini adalah negara demokrasi…kami fikir kami perlu persembahkan hasrat (bantah PRU15) kepada Yang di-Pertuan Agong.”

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini mengesahkan surat berkenaan ditandatangani semua menteri Perikatan Nasional (PN), manakala Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata surat bertarikh 3 Okt itu sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lepas.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tindakan 12 menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong membantah PRU15 diadakan tahun ini sebagai tidak wajar.

Ditemui media selepas majlis pelancaran Hari Sukan Negara Tahun 2022 (HSN2022) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata masing-masing termasuk Ahmad Maslan boleh mengeluarkan pandangan. – Bernama

“Ini adalah negara demokrasi…kami fikir kami perlu persembahkan hasrat (bantah PRU15) kepada Yang di-Pertuan Agong.”