Usia, berkerusi roda bukan penghalang

in Wacana by

Dari kiri: Aishah, Rokiah dan Ismail hadir pada Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Putrajaya pada Sabtu.

PUTRAJAYA – Usia bukanlah penghalang untuk golongan berusia bersama-sama ribuan peserta menjayakan Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang berlangsung pada Sabtu.

Bagi Rokiah Busu, alunan ayat suci al-Quran menerusi siaran program My #QuranTime yang ditonton setiap hari membantu wanita berusia 85 tahun itu memperoleh ketenangan dalam hidup.

Menurutnya, pendekatan tadabbur yang dilaksanakan juga sangat dekat dengan jiwa, sekali gus menambah kepuasan untuk memahami pengisian yang ingin disampaikan.

“Saya minat baca al-Quran setiap hari, jadi saya kuatkan semangat untuk hadir juga ke program ini.

“Awalnya anak saya kurang bersetuju disebabkan keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan tetapi selepas dapat tahu menantu akan turut serta, saya pun ikut dia.

“Selama ini kita baca kulit (al-Quran) sahaja tapi program ini disertakan sekali dengan tadabbur, jadi kita mudah faham,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di sini pada Sabtu.

Menurut Ismail Mamat, 75, meskipun dia terpaksa bertongkat disebabkan kakinya tidak kuat untuk berjalan jauh, dia tetap menguatkan semangatnya untuk menghadirkan diri ke acara khatam bersama-sama peserta lain.

Ujar peminat tegar program My #QuranTime berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, al-Quran merupakan satu mukjizat yang akan menjadi pembela umat Islam.

“Saya memang peminat al-Quran kerana bagi saya kalam ALLAH SWT ini adalah pemangkin semangat diri.

“Al-Quran akan memberi syafaat kepada seluruh umat Islam dan sebagai pembela kita di dunia dan akhirat,” jelasnya.

Sementara itu, Aishah Abd Gani, 78, mengakui ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh qari My #QuranTime boleh memberikan ketenangan kepada dirinya di saat sakit.

“Kalau tidak sihat misalnya pening atau demam, alhamdulillah saya boleh rasa lega dan lapang apabila menonton rancangan ini,” katanya yang datang dari Pontian, Johor.