Zuraida presiden baharu PBM

in Politik by

Zuraida

SHAH ALAM – Parti Bangsa Malaysia (PBM) secara rasmi melantik Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden baharu parti itu.

Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata, perkara itu dipersetujui setelah PBM melakukan proses yang sewajarnya bersesuaian dengan garis panduan Perlembagaan Parti.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM semalam telah bersidang dan mengesahkan tujuh (7) usul yang diluluskan sebulat suara dalam Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022 di Shah Alam pada Sabtu 1 Oktober 2022 yang lalu.

“Antara usul yang diterima sebulat suara adalah untuk meletakkan Zuraida sebagai Presiden PBM.

“Sehubungan itu, Majlis Tertinggi yang bersidang semalam telah meneliti dan menjalankan proses yang wajar serta bersesuaian dengan garis panduan Perlembagaan Parti telah mengangkat Zuraida sebagai Presiden parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Nor Hizwan, Majlis Tertinggi dan seluruh ahli PBM mengucapkan tahniah di atas pelantikan tersebut.

“Majlis Tertinggi mendoakan beliau terus diberi kekuatan bagi meneraju parti untuk terus cemerlang dalam memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Majlis Tertinggi juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Larry Sng yang telah memimpin parti sebelum ini,” katanya.