Maulidur Rasul di Selangor disambut sederhana

in Edisi Selangor KL by

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kiri) berkenan hadir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor Tahun 1444H/2022M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pada Ahad. – Foto BernamaKumpulan koir JAIS dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengalunkan selawat dan qasidah semasa keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin bersama tetamu kehormat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 1444 Hijrah bersamaan 2022 Masihi di di sini pada Ahad.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 1444 Hijrah bersamaan 2022 Masihi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, barisan Exco Selangor dan agensi-agensi kerajaan negeri.

Meskipun cuaca mendung disertai hujan renyai, majlis tersebut tetap dihadiri kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan, Selangor dan orang awam.

Walaupun tiada perarakan sempena majlis berkenaan di sini, keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin dan tetamu kehormat disambut dengan alunan selawat serta qasidah daripada kumpulan koir Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan ayat suci al-Quran daripada surat Al-Ahzab, ayat 38 hingga 48.

Dalam pada itu, ahli Dewan Negara, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan ceramah khas bertajuk ‘Menelusuri Sirah Nabawiyyah’ dalam majlis tersebut.

**media[1938688]**

Beliau semasa menyampaikan ceramah tersebut turut berkongsi sedikit dapatan kajian tentang keperibadian Rasulullah SAW menerusi buku baharu terbitannya berjudul Garis Masa Hayat al-Rasul.

Menurutnya, Baginda menzahirkan hakikat manusia yang wajib diteladani, sebab itu baginda menjadi contoh akhlak yang baik.

“Rasulullah SAW benar-benar meluangkan masanya untuk menyampaikan risalah ALLAH SWT dengan mempraktikkan lima perkara sebelum lima perkara. Antaranya sihat sebelum sakit, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.

“Susunan kerja Baginda yang teliti dan profesional juga antara ramuan kejayaannya membina tamadun luar biasa dalam masa 10 tahun, malah lebih hebat lagi, baginda turut membina pembina tamadun.

“Rasulullah SAW sebagai murabbi (pendidik), muallim (guru), muaddim (pemberi ilmu) kepada sahabatnya sehingga mereka menjadi manusia unggul di sepanjang zaman,” katanya.