Modeste 'duri dalam daging' Bayern

in Sukan by

Modeste (kanan) menjaringkan gol penyamaan ketika membantu Dortmund mengikat Bayern 2-2. – Foto Agensi

JARINGAN pemain gantian, Anthony Modeste pada minit-minit akhir perlawanan mengecewakan Bayern Munich untuk meraih tiga mata berharga ketika Borussia Dortmund bangkit mengikat keputusan 2-2 dalam aksi Bundesliga pada Ahad.

Modeste yang masuk pada minit ke-70 menjadi duri dalam daging Bayern apabila mencipta gerakan buat Youssoufa Moukoko menjaringkan gol empat minit selepas itu.

Dia yang kerap dikritik ekoran aksi hambar sejak berpindah dari Colognie awal musim ini kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-94 menerusi tandukan selepas menerima hantaran cantik pemain pertahanan Nico Schlotterbeck.

Modeste berkata kepada media bahawa dia sudah lali dengan kritikan sejak berpindah ke Dortmund.

“Saya beritahu rakan sepasukan kurang mendapat hantaran dan itu sebabnya agak terkejut dengan hantaran Schlotterbeck,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Bayern terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-90 setelah Kingsley Coman dilayang kad kuning kedua selepas mengasari Karim Adeyemi.

Pengurus Dortmund, Edin Terzic berkata, mereka berhak seri selepas melakukan segalanya dan memerlukan setiap pemain untuk menentukan keputusan perlawanan.