Perjelas kepada rakyat mengapa adakan PRU15 tahun ini

in Politik by

Tengku Razaleigh

SHAH ALAM – Banyak persoalan yang perlu dijawab kepada rakyat berhubung gesaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah berkata, rakyat terutamanya golongan miskin dan dihimpit kesusahan pada ketika ini perlu diberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Ujar beliau, timbul pelbagai pandangan termasuk yang tidak bersetuju untuk mengadakan PRU15 pada tahun ini.

“Ia kerana tidak beberapa lama lagi iddah (tempoh) pemerintahan yang ada sekarang akan berakhir pada bulan Mei tahun depan.

“Dalam PRU yang lepas iaitu tahun 2018, ia bermula pada bulan Mei dan jika kita buat angkat sumpah dan sebagainya, itu memakan masa sehingga bulan Julai.

“Jadi itu sudah tidak beberapa lama lagi. Mengapa kita hendak mengadakan pilihan raya beberapa bulan sebelum ‘iddah’ (tempoh menunggu pemerintahan) itu tamat?,” soalnya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh turut mengulas ada juga pendapat yang mempersoalkan kesesuaian untuk mengadakan PRU15 pada musim hujan di negara ini.

“Hujan tak berhenti-henti, lebat pula. Kita baharu dengar cuaca di Thailand yang menyebabkan banjir melanda sebahagian besar negara itu sendiri.

“Mengikut ramalan kaji cuaca, keadaan yang sama mungkin akan melanda negara kita,” ujarnya.

Menurutnya, masa yang ada seharusnya digunakan untuk membuat persediaan bagi melindungi nyawa dan harta benda rakyat daripada bencana banjir besar yang dijangka berlaku pada penghujung tahun ini.

“Apakah ini masa yang baik untuk mengadakan pilihan raya? Saya rasa banyak tanda tanya yang mesti kita jawab kerana soalan-soalan ini sudah tentu menghimpit rakyat terutama sekali yang susah dan menderita ketika ini,” jelasnya.