PSI saran 11 tindakan strategik tangani isu kesihatan mental

in Nasional by

PSI saran 11 tindakan strategik yang perlu diambil bagi menangani isu kesihatan mental pelbagai lapisan rakyat. – Foto123RF

SHAH ALAM – Psikospiritual IKRAM (PSI) menyarankan 11 tindakan strategik yang perlu diambil bagi menangani isu kesihatan mental pelbagai lapisan rakyat merangkumi semua domain iaitu biologikal, psikologikal, sosial dan spiritual atau biopsikososial-spiritual.

Pengerusinya, Dr Alizi Alias berkata, langkah tersebut perlu diambil oleh tiga sektor melibatkan institusi pendidikan, organisasi dan kerajaan.

Menurutnya, antara saranan untuk institusi sekolah adalah memupuk literasi kesihatan mental mengenai bagaimana memperoleh dan mengekalkan kesihatan mental yang baik, memahami penyakit mental dan rawatannya yang betul, mengurangkan stigma dan meningkatkan keyakinan mendapatkan pertolongan.

“Selain itu, menggalakkan penganjuran kursus pertolongan cemas psikologi (PFA) dan pertolongan cemas kesihatan mental (MHFA) yang berteraskan psikospiritual dalam kalangan guru, pensyarah, pelajar dan mahasiswa.

“Menambah bilangan kaunselor berdaftar di sekolah dan universiti serta melatih lebih ramai pakar psikologi sekolah dan pakar pendidikan khas untuk berkhidmat di setiap sekolah sekurang-kurangnya di setiap pejabat pendidikan daerah atau negeri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Cadangan tersebut dibuat sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022 yang akan diraikan pada Isnin.

Sementara itu, ulas beliau, bagi pihak organisasi melibatkan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), PSI mencadangkan supaya polisi serta budaya kesihatan mental yang mesra pekerja dibentuk merangkumi pelbagai demografi.

“Selain itu, menggalakkan penganjuran kursus pertolongan cemas psikologi atau psychological first aid (PFA) dan pertolongan cemas kesihatan mental (MHFA) yang berteraskan psikospiritual dalam kalangan pengurus dan pekerja.

“Mewujudkan khidmat kaunseling organisasi (EAP) sama ada perkhidmatan dalaman atau daripada pihak ketiga serta menawarkan manfaat perubatan dan insurans yang meliputi perbelanjaan untuk rawatan penyakit mental,” katanya.

Sementara itu, Alizi berkata, pihak kerajaan perlu bertindak melaksanakan model intervensi primer, sekunder dan tertier yang holistik untuk meningkatkan kesihatan mental dan merawat penyakit mental.

Tambahnya, pelaksanaan itu wajar jika melibatkan pakar psikologi bukan klinikal dalam bidang psikologi pendidikan, psikologi organisasi, psikologi kesihatan, psikologi forensik dan psikologi sukan dalam intervensi pada peringkat makro.

“Melatih lebih ramai profesional dalam bidang kesihatan mental seperti doktor pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal, ahli psikologi kaunseling, kaunselor dan pekerja sosial yang saintifik, beretika, profesional, mesra psikospiritual dan tidak mengamalkan psikologi palsu (pseudopsikologi),” katanya.