Sultan Selangor lancar Akademi Literasi Al-Quran

in Edisi Selangor KL by

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Akademi Literasi Al-Quran Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.

Ia dirasmikan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor Darul Ehsan Bagi Tahun 1444 Hijrah bersamaan 2022 Masihi.

Turut hadir ke majlis tersebut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, barisan Exco Selangor dan agensi-agensi kerajaan negeri.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, akademi tersebut ditubuhkan untuk memberi penekanan serius ke arah melahirkan umat Islam berkemahiran membaca dan mengajar, berupaya mengamal serta mampu mempersenikan al-Quran.

Menurutnya, institusi berkenaan ditetapkan bagi memberdaya pembinaan latihan al-Quran kepada imam-imam masjid dan surau, guru al-Quran di sekolah, pemegang tauliah mengajar al-Quran D3, hakim- hakim dan peserta Tilawah dan Hafazan al-Quran.

“Buat masa ini, terdapat 60 orang pensyarah jemputan dilantik dalam pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan.

“Dengan tertubuhnya akademi ini, maka secara rasminya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan menjadi Hab al-Quran kepada Selangor,” katanya pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, pusat pengajian tersebut memberi fokus untuk memberdaya pembacaan al-Quran berpandukan kepada Riwayat Hafs ‘An ‘Asim menurut Toriq Syatibiyyah.

Ujarnya, keutamaan diberikan kepada penguasaan makhraj, sifat huruf, kesempurnaan dengung, keseragaman bacaan mad dan menguasai elemen tajwid, fasohah, tarannum, suara, hafaz lancar serta waqaf ibtida’.

“Akademi ini juga adalah sebuah badan rasmi yang berautoriti bagi menegur dengan cara yang sesuai kepada mereka yang melakukan kesilapan dalam pembacaan dan penulisan al-Quran.

“Ia juga membina kemahiran menulis kaedah Rasm Utmani dan Dabtul Quran, selain memberi pengetahuan asas berkaitan ilmu-ilmu qiraat dengan menggunakan kitab-kitab yang muktabar serta menawarkan pelbagai kursus berkaitan ilmu-ilmu al-Quran,” jelas beliau.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor Darul Ehsan turut diserikan dengan ceramah khas Maulidur Rasul daripada ahli Dewan Negara, Senator Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri bertajuk ‘Menelusuri Sirah Nabawiyyah’.