Ten Hag berang pemain tak tahu sejarah United

in Sukan by

Ten Hag. – Foto Agensi

PARA pemain Manchester United yang masih trauma tewas kepada Manchester City 3-6 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) perlu mengetahui sejarah gemilang The Red Devils dengan mengunjungi Muzium Old Trafford.

Amarah pengendali United, Erik ten Hag itu tercetus selepas beliau mengetahui hanya segelintir pemainnya mengetahui sejarah gemilang kelab itu.

Sejurus selepas kekalahan memalukan minggu lalu, ten Hag memberi amaran kepada pemainnya mengenai sejarah kelab dan falsafah bola sepak.

Beliau terkejut apabila ada pemain yang mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke muzium itu.

Satu sumber United mendedahkan bahawa pengurus itu berang dengan prestasi pasukannya ketika menentang City.

Dia berkata kepada pasukannya mana-mana pemain yang menyarung jersi Manchester United tidak boleh beku dan mudah kalah dengan teruk.

“Anda beraksi untuk United. Anda tahu tak apa maksudnya? Lihat sejarah kelab,” tegasnya.

Tambah sumber itu; “Dia tanya mereka apa yang mereka tahu mengenai kelab. Ketika ada yang berkata mereka belum sempat ke muzium untuk melihat sejarah gemilang United, dia sangat terkejut.

“Ten Hag sudah dua kali melawat muzim sejak berpindah ke sini pada musim panas. Dia menggesa semua pemainnya mencari masa pergi ke sana untuk belajar apa makna beraksi untuk United,” katanya.

United muncul juara liga dengan rekod 20 kali dan menjulang Piala Eropah tiga kali, Piala FA 12 kali dan lima Piala Liga.

Skuad Sir Alex Ferguson meraih treble pada 1999, manakala pada 1968 United muncul kelab Inggeris pertama menang Piala Eropah.