Bacaan Sungai Padang Terap melebihi paras bahaya

in Edisi Utara by

Anggota APM Kedah melakukan pemantauan di sekitar Sungai Anak Bukit berikutan air sungai mencatatkan paras waspada manakala sungai Sungai Padang Terap berada pada paras amaran setakat 12 tengah hari pada Ahad. – Foto Bernama.
ALOR SETAR – Sungai Padang Terap, di Kampung Kubu dalam daerah Padang Terap terus mencatat kenaikan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 14.07 meter (m) setakat jam 8 pagi Isnin berbanding 13.79 meter pada Ahad.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, bacaan itu jauh melepasi paras bahaya yang ditetapkan iaitu 13.02 meter.

Beliau berkata, peningkatan paras air sungai itu disebabkan faktor hujan di beberapa kawasan sekitar itu malam Ahad, namun hujan telah pun berhenti di daerah Padang Terap.

“Sementara itu, tiga sungai di tiga daerah masih merekodkan paras air melebihi tahap waspada iaitu Sungai Perik di daerah Padang Terap (11.76m); Sungai Anak Bukit di Kota Setar (2.29m) dan Empangan Beris di Sik dengan 84.10 meter,” katanya pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Baling, pada jam 2 petang Ahad di Kompleks Rakan Muda kini menempatkan 154 mangsa daripada 49 keluarga setakat pagi Isnin.

“Sebanyak 28 kampung terjejas akibat banjir antaranya Kampung Temusu, Kampung Dusun, Kampung Iboi, Kampung Memali, Kampung Tualang dan beberapa kampung lain yang terletak berdekatan kawasan sungai itu,” katanya. – Bernama