Jabatan Amal Malaysia siap sedia hadapi banjir

in Edisi Selangor KL by

Jabatan Amal Malaysia mengingatkan ahli bersiap sedia hadapi kemungkinan banjir susulan taburan hujan lebat berterusan. Gambar kecil: Hanafi

SHAH ALAM – Di saat banyak pihak sibuk berteka-teki tarikh Parlimen akan dibubarkan namun Jabatan Amal Malaysia terus mengingatkan ahli-ahlinya bersiap sedia dengan kemungkinan banjir.

Ketua Pengarahnya, Hanafi Zulkapli berkata, ahli di semua peringkat diminta bersedia susulan laporan taburan hujan dan aras air sungai di peringkat bahaya bagi beberapa lokasi.

Menurutnya, selain mengingatkan ahli-ahli memastikan peralatan menyelamat dan pembersihan berada dalam keadaan baik, beliau turut meminta bilik operasi diaktifkan.

“Aktifkan grup WhatsApp dan medium menyampai dan menerima arahan dari bilik operasi pusat, negeri, kawasan dan lokaliti Jabatan Amal Malaysia.

“Kemudian, bersedia menerima panggilan arahan bertugas dibawah pengarahan Jabatan Amal Malaysia dan Khidmat Malaysia, ” menurut perkongsian di Facebook Jabatan Amal Negeri Selangor pada Ahad.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan yang membawa berisiko kepada banjir berskala besar.