Kelantan kekal tidak bubar DUN

in Nasional by

Mohd Amar semasa sidang akhbar di Kota Darulnaim, Kota Bharu.

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Kelantan mengekalkan keputusan yang dibuat sebelum ini untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun Parlimen dibubarkan pada Isnin.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perkara tersebut dibuat sebagaimana keputusan yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi sebelum ini.

“Setakat ini itulah keputusan kita. Kalau sehari dua lagi ada perubahan tidak tahulah (keputusan akan berubah atau tidak).

“Bagi saya bubar atau tidak ia bukan masalah besar tetapi pilihan raya dalam musim banjir lebih menyusahkan terutama kepada rakyat,” katanya semasa sidang akhbar di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Amar, paling cepat DUN akan dibubarkan ialah pada bulan Mac nanti.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selaras dengan itu, beliau mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum peringkat Parlimen.

Jelas Ismail Sabri, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

Sementara itu, Mohd Amar percaya pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri berpunca daripada desakan pimpinan UMNO.

Naib Presiden Pas itu berkata, difahamkan Ismail Sabri tiada pilihan dan terpaksa memohon untuk membubarkan Parlimen.

“Kita tidak boleh pertikaikan keputusan tersebut kerana itu hak beliau (Perdana Menteri) dan ia sudah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Cuma kita ada bagi pandangan sebelum ini yang masa sekarang ini belum sesuai untuk diadakan pilihan raya dengan keadaan ekonomi, cuaca dan lain-lain.

“Bagaimanapun Pas Kelantan sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya dan berada pada tahap tertinggi walaupun belum mencapai 100 peratus,” katanya.

Menurut beliau, cadangan calon sudah ada dengan tiga calon disenaraikan bagi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun katanya, terserah kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa calon terbaik kerana asasnya individu (calon) tersebut mesti mempunyai potensi untuk menang.

Mohd Amar berkata, untuk PRU15, 30 peratus muka baharu akan diketengahkan.

“Calon baharu itu bukan bermaksud orang muda atau Muslimat tetapi yang ada potensi untuk menang,” katanya.