Paras Sungai Padang Terap masih melebihi paras bahaya

in Edisi Utara by

Anggota APM Kedah melakukan pemantauan di sekitar Sungai Anak Bukit. – Foto Bernama

ALOR SETAR – Paras Sungai Padang Terap di Kampung Kubu dalam daerah Padang Terap mencatat penurunan bacaan iaitu 13.40 meter (m) setakat jam 7 malam ini, bagaimanapun ia masih melebihi paras bahaya.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, bacaan itu menurun daripada 14.07 meter pagi tadi.

“Dua sungai di daerah Kota Setar pula mencatatkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman (2.39m) dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR (1.52m).

“Dua lagi sungai mencatatkan bacaan melebihi paras waspada iaitu Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar (1.74m) dan Empangan Beris di daerah Sik yang mencatatkan bacaan 84.06m,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Sementara itu, banjir kilat yang berlaku di beberapa daerah telah pulih dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Baling ditutup sepenuhnya pada 1 tengah hari tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. – Bernama