PH sedia hadapi PRU15: Anwar

in Politik by

Anwar Ibrahim

SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinannya terhadap persediaan gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan pembubaran Parlimen pada Isnin.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi perkenan terhadap langkah pembubaran Dewan Rakyat yang dilihat selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“PH bersedia untuk menghadapi PRU15. Kami telah bersedia untuk berhadapan dengan gerombolan yang telah mencurangi mandat pilihan raya umum yang lalu.

“Kami juga bersedia untuk memungkinkan sebuah masa depan yang mampan, makmur serta sebuah pemerintah yang benar-benar prihatin dan punyai sikap belas kepada nasib dan kebajikan rakyat.

“Malaysia yang baru di bawah PH pastinya akan memberi lebih penekanan yang mendalam kepada aspek-aspek ini dan akan berusaha sebaik mungkin bagi mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anwar bagaimanapun dalam kenyataan sama turut mempersoalkan niat pihak tertentu dan berkepentingan yang dilihat begitu gelojoh mahu pilihan raya ketika ini di sebalik cabaran getir dihadapi rakyat termasuk berkaitan risiko banjir dan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, kabinet yang disifatkan paling besar dalam sejarah negara itu didapati tewas dan tunduk terhadap tekanan serta kehendak politik yang berkiblatkan kuasa dan wang ringgit.

Sehubungan itu, Anwar menyeru orang ramai untuk turun mengundi pada PRU15 bagi menentukan masa depan terbaik buat negara.

“Apakah kalian bimbang melibatkan harga barang? Soal pekerjaan? Musim tengkujuh dan banjir? Apakah kalian mahu pendidikan yang berkualiti? Kalian mahu sistem dan akses yang munasabah kepada kesihatan? Justeru itu kita mesti turun mengundi!” ujarnya.