PRU15: MIC kekal bertanding kerusi tradisi

in Politik by

Vigneswaran ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC Ke-76 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin. -Foto: Bernama
KUALA LUMPUR – MIC kekal bertanding di kesemua kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Vigneswaran berterima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas keputusan berkenaan yang diumumkan ketika pelancaran Brigade Kebangsaan MIC pada September lepas.

“Kerusi tambahan bagi MIC untuk PRU15 masih dalam peringkat perbincangan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin.

Ahmad Zahid merasmikan perhimpunan agung parti itu yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Sebanyak 3,000 perwakilan dan pemerhati hadir pada perhimpunan itu.

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Vigneswaran pada perhimpunan itu berikrar MIC akan berusaha bersungguh-sungguh bersama dengan jentera BN untuk memenangi semua kerusi ditandingi pada PRU15 dan tindakan akan diambil terhadap ketua bahagian yang tidak menolong calon parti komponen BN lain.

Mengakui antara faktor kegagalan MIC pada PRU lepas adalah lambat menamakan penyelaras untuk kawasan yang akan ditandingi, beliau berkata bagi mengelakkan keadaan berulang, penyelaras telah dilantik dua hingga tiga tahun lepas untuk bekerja di semua kerusi tradisi. – Bernama