PRU15: PDRM siap siaga, minta tidak main isu sensitif

in Nasional by

Acryl Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) minta semua pihak peka dan tidak memainkan sentimen yang menyentuh isu-isu sensitif sepanjang tempoh menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

“Sebagai anggota masyarakat yang matang dalam menghadapi senario politik, usaha semua pihak untuk mengelak daripada menyentuh perkara-perkara sensitif amat diperlukan.

“PDRM komited dalam menjalankan penugasan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, PDRM telah menjalankan persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kemungkinan berlakunya bencana alam banjir sepanjang tempoh pilihan raya itu nanti.

“PDRM siap siaga menghadapi PRU15 yang bakal berlangsung dan akan menggerakkan seramai 94,411 anggota daripad 120,557 warga pasukan untuk penugasan berkaitan,” katanya.

Katanya, kerjasama erat antara PDRM bersama semua badan berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi-agensi penyelamat diutamakan bagi menghadapi kemungkinan bencana alam.

“PDRM meminta kerjasama semua pihak untuk memainkan peranan agar proses PRU berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15.

Ismail Sabri mengumumkan perkara itu secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan jam 3 petang pada Isnin.