Ten Hag jangka Ronaldo ledak lebih banyak gol

in Sukan by

Ronaldo -Foto: FB Manchester United

ERIK ten Hag menjangkakan untuk melihat lebih banyak lagi jaringan daripada Cristiano Ronaldo selepas gol ke-700 penyerang Portugal itu bersama The Red Devils menjadi pencetus kemenangan Manchester United 2-1 ke atas Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park.

“Itu sangat mengagumkan, saya pasti akan ada lebih banyak gol. Apabila anda menjaringkan 700 gol, ia adalah prestasi yang hebat. Saya sangat gembira untuknya dan ucapkan tahniah atas prestasi itu biarpun dia terpaksa menunggunya.

“Saya percaya setiap pemain memerlukan keyakinan itu, walaupun anda adalah yang terbaik dunia. Anda tetap memerlukan keyakinan bagi menjaringkan gol.

“Saya bekerja dengan ramai penjaring gol, sesungguhnya setiap mereka memiliki perasaan untuk menjaringkan gol bagi menyumbang sesuatu kepada kelab.

“Apabila mereka mempunyai beberapa gol, aliran permainan mereka menjadi lebih mudah dan itu juga akan berlaku dengan Ronaldo,” katanya.

Pada perlawanan itu, anak-anak buah Frank Lampard terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Alex Iwobi.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Anthony Martial menyamakan kedudukan pada minit ke-15, sebelum Ronaldo yang dimasukkan bagi menggantikan Martial meledak jaringan kemenangan The Red Devils pada minit ke-44.

Kemenangan kelima saingan liga itu membolehkan Manchester United menduduki tangga keenam dengan 15 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.