Belum dapat tarikh menghadap Pemangku Raja: MB Pahang

in Nasional by

Wan Rosdy memaklumkan belum mendapat tarikh untuk menghadap Tengku Hassanal ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan kerajaan negeri masih belum menerima tarikh untuk menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, buat masa sekarang kerajaan negeri tetap berfungsi seperti biasa.

“Saya belum dapat tarikh Tuanku (Tengku Hassanal) lagi, hendak menghadap belum dapat lagi.

“Jangkaan tarikh menghadap? Saya tidak boleh anggaran (bila tarikh mengadap) kerana belum dapat perkenan untuk menghadap (Tengku Hasanal) lagi. Mana boleh saya mendahului Tuanku,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan Parlimen dibubarkan selepas mendapat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ditanya mengenai calon, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang menjelaskan, senarai calon untuk bertanding pada PRU15 masih belum diputuskan.

“Calon, nanti dulu kerana masih diperingkat akhir kerja-kerja pemilihan. Manifesto? Kita boleh anggap Bajet (Bajet Pahang 2023) itu sebagai manifesto,” ujar beliau.

Pada PRU14, terdapat 42 kerusi DUN di Pahang dan 25 daripadanya dimenangi BN, sembilan Pakatan Harapan dan Pas (lapan).