Wanita berdaya saing perlu berilmu dan sokongan

in WacanaQuran by

(Sembilan dari kiri) Gharizah, Tunku Noor Hayati dan Fauziah bersama kumpulan Qasidah dari Majlis Burdah Nur Nabawiy, Singapura pada Majlis Negeri Sembilan Berselawat 2.0 di Sepang.

SEPANG – “Golongan wanita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu khususnya ilmu al-Quran dan Sunnah untuk mendepani pelbagai cabaran hidup hari ini.”

Demikian kata Ketua Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, Yang Teramat Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Puan Seri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada Majlis Amal Mahabbah “Rindu & Cinta Rasul” di Hotel Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang pada 16 Oktober 2022.

Sebelum itu, beliau telah menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran International Conference Palestine KL (ICPKL) 2021 dalam program majlis amal tersebut anjuran Wanita Perkim Cawangan Daerah Seremban dan Rumah Ngaji Negeri Sembilan.

Majlis Amal Mahabbah merupakan tiga acara dalam satu majlis iaitu menghayati bait-bait rindu dan cinta kepada Rasulullah SAW; pembacaan Kitab Diba’ie dan Qasidah oleh kumpulan Nismah, Majlis Burdah Nur Nabawiy dari Singapura; kumpul dana dalam perjuangan Pembebasan Masjidil al-Aqsa; dan Pra-Pelancaran “International Conference Plaestine KL (ICPKL) 2023.

Kata beliau, wanita sebagai ibu, isteri dan anak berhadapan dengan pelbagai masalah diri, rumahtangga, anak, di samping keadaan sosioekonomi yang tidak menentu. Kebelakangan ini, terdapat kes wanita hendak bunuh diri kerana amat tertekan dari segi psikologi.

“Ramai juga kalangan kaum Hawa ini yang bersemangat kuat, tetapi pada masa sama kita perlukan sokongan daripada orang tersayang. Kesabaran itu penting, namun ada orang yang memanipulasikan agama untuk mempergunakan wanita.

“Wanita perlu berilmu untuk berdaya saing. Sangat penting untuk kita menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan dan solusi kehidupan. Al-Quran banyak memberi jawapan kepada segala permasalahan.

“Oleh itu penting bagi kita untuk memahami isi kandungan al-Quran. Sekiranya kita tidak mampu untuk memahami al-Quran dan Sunnah, maka kita perlu berusaha untuk mempelajari ilmu tersebut dengan guru yang bertauliah.”

Beliau menambah, golongan wanita perlu bertanya apabila tidak tahu dan minta bantuan apabila berada kesusahan. Kita mungkin tidak mampu menangani masalah seorang diri tetapi dengan bantuan melalui rangkaian kenalan dan NGO, ia boleh meringankan beban yang ditanggung.

“Perhimpunan bersama rakan NGO juga mampu memberi sokongan moral, fizikal dan emosi. Tidak semua orang faham dan ingin faham tentang masalah seseorang. Kebanyakan wanita sanggup serahkan jiwa, raga dan kewangan apabila sayang. Mereka selalunya dipergunakan oleh orang terdekat.

“Alhamdulillah, kini ramai wanita diberi peluang untuk berjaya. Oleh itu, kita harus lebih bersatu, menyokong dan membantu antara satu sama lain. Pada masa sama, kita tidak sepatutnya mempunyai agenda lain dan tersendiri dalam memperjuangkan kaum wanita.

“Wanita sebagai pemimpin keluarga adakalanya terlalu mudah terpengaruh dan dipergunakan. Mereka sepatutnya mempunyai kesihatan emosi yang stabil demi memastikan keluarga sihat dan anak yang bebas daripada gejala sosial.

“Ketegasan wanita dalam kelembutan dalam memimpin keluarga amat penting. Mereka yang berpegang teguh kepada agama mampu menjaga keluarga dengan bantuan ALLAH.

“Tidak dinafikan wanita yang melibatkan diri dalam gerakan NGO menjadikan kebanggaan atas semangat mereka yang luar biasa. Semoga kaum wanita diberi lebih kepercayaan sebagai pemimpin negara,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, program imarahkan majlis mawlid ini secara langsung mengukuhkan silaturrahim dan jalinan mahabbah dalam kalangan peserta.

“Diharapkan memberi suntikan semangat yang membara untuk mereka terus sejuta langkah ke hadapan dan menyebarkan khidmat seikhlas mungkin dalam usaha kebajikan, dakwah seterusnya membangunkan sahsiah diri dan akhlak.

“Berpandukan Surah Al-Baqarah, ayat 148, istilah “Fastabiqul Khairat” menyuntik semangat dan motivasi berlumba-lumba merebut peluang untuk meraih kecemerlangan dalam kerja kebajikan dan membangunkan keluarga bahagia dan masyarakat sejahtera, sekaligus menjadi ummah, rakyat yang terbaik dan paling bermanfaat.”

Rumah Ngaji Negeri Sembilan bergerak seiring sejalan dengan Wanita PERKIM Cawangan Daerah Seremban dalam gerak kerja dakwah dan kebajikan sejak penubuhannya pada 2015. Ia mengajak ummah kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah melalui penubuhan Rumah Ngaji di seluruh negara.

“Wanita PERKIM Cawangan Daerah Seremban dan Rumah Ngaji Negeri Sembilan bersama mentsunamikan gelombang Quran, sekaligus membumikan al-Quran di hati sanubari serta kehidupan Ummah dengan misi #MengQurankan Bangsa MengIkhlaskan Ummah.

“Majlis hari ini menunjukkan tanda kasih dan syukurnya kepada Nabi Muhammad SAW yang telah meninggalkan kita 1400 tahun yang lalu, yang juga telah meninggalkan kita hadiah yang tiada nilainya yakni al-Quran dan as-Sunnah.”

Antara mesej penting dalam program tersebut adalah menjadikan Rasulullah SAW sebagai sebagai sebaik-baik teladan (uswatun hasanah) bagi insan yang mengharapkan kebahagiaan di akhirat, sebagaimana disebut dalam Surah al-Ahzab, ayat 21.

Turut berucap, Pengerusi Malaysian Women’s Coalition Al-Quds and Palestine (MCWQP), Dr Fauziah Mohd Hassan mengenai pengenalan ICPKL yang diadakan di Royale Chulan Seremban, Negeri Sembilan, pada 10 hingga 12 Februari 2023. Orang ramai dijemput sertai program tersebut dengan menghubungi Sekretariat ICPKL di 0176782144.

Lebih 300 peserta berkumpul untuk menzahirkan rasa rindu dan cintakan Rasulullah SAW yang memperjuangkan syiar Islam sehingga hari ini. Kutipan sumbangan Dana Palestin sebanyak lebih RM 20K berjaya dikumpulkan pada majlis tersebut